Perasmian Penutup Program CIMB Foundation: Fish Farming for Rural Communities

Majlis perasmian penutup program “Fish Farming for Rural Communities” telah dianjurkan oleh Pertubuhan Pondok Perdana Darul Makmur, dengan kerjasama oleh Universiti Teknologi MARA, CIMB Foundation, dan Masjid Al-Muttaqin Mukim Charuk Puting, Bera, Pahang pada 3 Februari 2024 yang lalu. Program penternakan ikan puyu tersebut merupakan salah satu inisiatif untuk memberi latihan kepada penduduk di luar bandar dalam meningkatkan kegiatan ekonomi. Kesinambungan, kemampanan dan kebolehpasaran hasil daripada program yang berlangsung selama setahun itu adalah signifikan dalam usaha untuk membasmi kemiskinan, meningkatkan taraf hidup, dan menambahkan sumber pendapatan iaitu selari dengan hasrat kerajaan serta memenuhi Sustainable Development Goals khususnya SDG 1 – Tiada Kemiskinan (No Poverty). Program ini terdiri daripada tujuh (7) fasa iaitu: pembinaan kolam ikan, penyampaian seminar, sesi praktikal, pemantauan berkala, penuaian hasil, pemprosesan ikan kepada produk pekasam, serta penjualan produk.

Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang Hormat Dato’ Kurnia Bistari Dato’ Haji Mohamed Arifin bin Awang Ismail (Pengarah Pertubuhan Pondok Perdana Darul Makmur), serta dihadiri oleh Encik Arifudin Suhaimi (Tok Empat Kampung Charuk Puting), Tuan Haji Radzuwan bin Sulaiman (Pengerusi Masjid Al-Muttaqin Mukim Charuk Puting), barisan fasilitator dari UiTM Cawangan Pahang (Kampus Jengka) dan UiTM Cawangan Selangor (Kampus Dengkil), serta peserta-peserta program.

Pada penghujungnya, seramai 20 orang usahawan baharu dalam penternakan dan pemasaran ikan telah berjaya dilahirkan. Keuntungan yang diagihkan kepada para peserta hasil daripada jualan mampu menjadi pendorong kepada permulaan projek usahawan sendiri di rumah masing-masing bagi tujuan mengaplikasikan kemahiran dan pengetahuan yang sedia ada.