Penglibatan Pelajar Diploma Sains Komputer UiTM Cawangan Pahang dalam IC-PROM 2023

International Competitive Programming & Multimedia Competition (International C-PROM) adalah pertandingan yang dianjurkan secara tahunan oleh Jabatan Sains Komputer, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik, dan Matematik (KPPIM), UiTM Cawangan Perlis. Pertandingan ini merupakan pertandingan antarabangsa yang melibatkan penyertaan dari institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara. Pertandingan ini telah berjaya diadakan pada 21 Oktober 2023, dan majlis penutup telah berlangsung pada 24 Oktober 2023 secara dalam talian.

Kemahiran dalam pengaturcaraan dan multimedia adalah asas yang penting untuk pelajar aliran sains komputer. Penyertaan dalam pertandingan pengaturcaraan dan multimedia adalah salah satu cara menguji tahap pemikiran, kemahiran menganalisa sekaligus kebolehan pelajar dalam menyelesaikan permasalahan dalam pengaturcaraan dan menghasilkan karya kreatif digital. Melalui pertandingan ini, pelajar dapat berkongsi idea kreatif mereka di antara satu sama serta memupuk semangat persaingan sihat untuk menghasilkan penyelesaian yang tepat untuk setiap permasalahan dan karya kreatif multimedia. Selain itu, penyertaan di dalam pertandingan ini dilihat sebagai platform dalam mengasah bakat-bakat pelajar Diploma Sains Komputer UiTM Cawangan Pahang untuk ke peringkat yang lebih tinggi.

Sehubungan dengan ini, pihak Pengajian Sains Pengkomputeran, KPPIM, UiTM Cawangan kampus Raub, telah menghantar pasukan dalam pertandingan ini. Seramai 4 pasukan dihantar untuk pertandingan pengaturcaraan, dan 1 pasukan untuk pertandingan multimedia. Bagi pertandingan pengaturcaraan, setiap pasukan yang terdiri daripada 2 atau 3 orang pelajar, telah diberi sebanyak 10 permasalahan sebenar di dalam bidang pengaturcaraan untuk diselesaikan dalam tempoh 3 jam, menggunakan bahasa pengaturcaraan C++, Java, atau Python. Pemenang dikira berdasarkan ranking mengikut jumlah permasalahan yang diselesaikan, ketepatan, dan kepantasan. Sebanyak 67 pasukan telah bertanding dalam pertandingan pengaturcaraan ini.

Bagi pertandingan Multimedia, setiap pasukan terdiri daripada 3 hingga 5 orang pelajar. Setiap pasukan perlu menyediakan video kreatif yang bertemakan Personal Care Product yang berdurasi 3 hingga 4 minit dalam bahasa melayu atau ingeris. Video yang telah selesai disunting, perlulah dihantar kepada pihak penganjur sebelum 17 Oktober 2023. Pemenang akan ditentukan melalui rubrik yang disediakan pengajur berdasarkan originaliti, kreativti, mesej jelas, rekabentuk, serta elemen-element multimedia yang digunakan.

Senarai pemenang bagi pertandingan pengaturcaraan dan multimedia telah diumumkan dalam Majlis Penutup International C-PROM 2023 yang telah berlangsung pada 24 Oktober 2023 pukul 9 pagi hingga 12 tengahari, melalui platform atas talian YouTube. Tiga pemenang telah dipilih untuk pingat Gangsa, 1 pemenang untuk pingat Perak dan 1 pemenang untuk pingat Emas bagi kedua-dua pertandingan. Pasukan pengaturcaraan UiTM Cawangan Pahang telah mendapat dalam senarai 16 terbaik dari 67 pasukan bertanding (tempat ke 10, 11, 13 & 16). Manakala pasukan multimedia telah memenangi pingat Gangsa.