Projek Agro Buddies: Meningkatkan Keusahawanan dan Pendapatan dalam Kalangan Komuniti B40 di Kuala Muda

KUALA MUDA, 25 Ogos 2023 – SIG Solid, Jabatan Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Pertanian Seberang Perai Utara, Jabatan Kebajikan Masyarakat Seberang Perai Utara, Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak Seberang Perai Utara dan Pasukan Sekarelawan Orang Muda telah berjaya menganjurkan Projek Taman Agro Buddies bagi meningkatkan keusahawanan dan pendapatan di kalangan komuniti B40 Kuala Muda, Penaga, Seberang Perai Utara. Projek ini telah dijalankan di Pusat Perlindungan Kanak-kanak Kuala Muda dan telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tuan Fahmi Zainol, EXCO Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang.

Projek Taman Agro Buddies dianjurkan bertujuan membantu isi rumah komuniti B40 di Kuala Muda meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri bahan makanan dengan bimbingan Jabatan Pertanian. Kaedah penanaman bagi projek Taman Agro Buddies ini menggunakan teknologi hidroponik “Nutrien Film Technique” (NFT) yang merupakan satu sistem yang sangat efektif dan produktif di antara sistem hidroponik yang ada dan amat sesuai untuk digunakan pada penanaman hidroponik yang berskala besar.

Projek ini telah dijalankan dalam dua sesi. Pada sesi pertama, telah dijalankan bengkel semaian oleh Jabatan Pertanian Seberang Perai Utara, di mana para peserta iaitu kanak-kanak dan ibu bapa telah didedahkan dan ditunjukkan cara penanaman sayur sawi menggunakan kaedah teknologi NFT. Pada sesi kedua, iaitu sesi Jihad Bisnes, para peserta diberi taklimat berkaitan pentingnya keusahawanan bagi meningkatkan pendapatan keluarga serta cara menguruskan kewangan dengan efektif oleh Tuan Hj Sukor, Pensyarah kanan, Jabatan Penguruan dan Perniagaan, UiTM Pulau Pinang.

Projek Taman Agro Buddies ini telah mendapat sambutan yang baik daripada komuniti B40 Kuala Muda Penaga dan juga maklumbalas yang baik daripada kerajaan negeri Pulau Pinang di mana Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan serta Pembangunan Koperasi Negeri Pulau Pinang berhasrat untuk menggunakan konsep Taman Agro Buddies dan diperluaskan ke seluruh Pulau Pinang. Memandangkan pertanian merupakan bidang yang masih kurang popular dalam kalangan anak muda, program sebegini haruslah lebih rancak dilaksanakan kerana penglibatan kanak- kanak merupakan agen perubahan yang penting bagi meremajakan semula bidang pertanian di Malaysia.