Penganjuran Program “A Day with Sunway” oleh Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang dan Sunway Services Sdn Bhd

Pada 7hb November yang lalu, Universiti Teknologi MARA Cawangan (UiTM) Pulau Pinang bersama pihak Sunway Services Sdn Bhd telah berjaya menganjurkan program “A Day with Sunway” di Kampus Permatang Pauh, Pulau Pinang. Antara fakulti yang terlibat di dalam program ini adalah Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan serta Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Mekanikal, Elektrik, dan Kimia. Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar Diploma dan Ijazah Sarjana Muda mengenai dunia kerjaya bersama Sunway dari aspek perhotelan, masakan, kejuruteraan dan lain-lain lagi. Pelajar-pelajar juga diberikan taklimat oleh delegasi Sunway berkaitan peluang menjalankan latihan industri dan peluang kerjaya di bawah Sunway.

Antara aktiviti program yang dijalankan termasuklah, ceramah kemahiran temuduga dan penulisan resume, taklimat berkaitan industri pelancongan dan servis perkhidmatan makanan. Selain itu, pihak Hotel Sunway melakukan demonstrasi masakan dan pengemasan bilik hotel di hadapan pelajar-pelajar hotel dan kulinari. Program ini telah mendapat respon yang amat positif dengan kehadiran pelajar-pelajar yang ramai terutamanya semasa sesi demonstrasi oleh chef jemputan.

Pelbagai bentuk kerjasama telahpun dirancang di antara Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang dan Sunway Services Sdn Bhd. Antaranya ialah kerjasama dari aspek pembangunan program dan modul TVET, pertukaran ilmu pengetahuan dan kepakaran, dan pengambilan pelajar-pelajar untuk latihan industri dibawah entiti perniagaan Sunway. Universiti Teknologi MARA dan Sunway Services Sdn Bhd dijangka akan menandatangani Memorandum Persefahaman pada bulan Januari 2024.