Pengajaran Kolaboratif Antarabangsa Anjuran Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Cawangan Seri Iskandar Dengan Kerjasama UiTM Cawangan Kuala Pilah dan University of The Philippines Cebu

9 JUN, 2023 – Akademi Pengajian Bahasa (APB) daripada dua kampus cawangan iaitu, UiTM Cawangan Seri Iskandar dan UiTM Cawangan Kuala Pilah telah menganjurkan satu webinar yang bertajuk Speak & Be Heard: Communication Skills for Successful Group Discussion bagi kod kursus ELC151: Integrated Language Skills II. Webinar ini telah diadakan secara dalam talian pada 9 Jun, 2023 (Jumaat) pada pukul 9.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari.

Webinar ini merupakan sebuah projek Pengajaran Kolaboratif bagi sesi kedua semester 2023, dan menjadi subjek utama untuk para pelajar diploma di UiTM Cawangan Seri Iskandar dan UiTM Cawangan Kuala Pilah. Seramai 247 pelajar telah terlibat dalam sesi ini yang terdiri daripada para pelajar Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, dan Kolej Pengajian Seni Kreatif.

Untuk sesi ini, penceramah daripada University of the Philippines Cebu, iaitu Profesor Aurelio P. Vilbar telah dijemput untuk berkongsi informasi berkaitan tajuk webinar, malahan turut memberi fokus kepada kemahiran berkomunikasi secara efektif, kemahiran mendengar dan memberi respon secara aktif, dan teknik perbincangan berkumpulan bagi mempersiapkan para pelajar untuk ujian lisan secara berkumpulan. Sepanjang sesi tersebut, para pelajar telah didedahkan dengan teknik-teknik dan strategi yang memudahkan mereka dan boleh digunapakai dalam perbincangan secara berkumpulan. Tambahan pula, Profesor Aurelio turut memberi pelbagai contoh dalam mempamerkan budaya beliau. Hal ini secara tidak langsung memberi pendedahan global kepada para pelajar UiTM mengenai perbezaan budaya di antara Malaysia dan Filipina.

Akhir kata, setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran webinar ini. Diharapkan webinar seperti ini akan dianjurkan lagi pada masa hadapan sebagai salah satu inisiatif murni Akademi Pengajian Bahasa Cawangan Seri Iskandar dan Akademi Pengajian Bahasa Cawangan Kuala Pilah untuk berkongsi informasi, idea dan memberi pengalaman baru kepada semua terutamanya para pelajar bagi menghasilkan para pelajar UiTM yang cakna akan budaya setempat dan luar negara, selari dengan matlamat UiTM dalam Pelan Strategik UiTM 2025.