Aktiviti Persampelan dan Analisis Air di Telaga Tiub UiTM Cawangan Pahang

Air telaga tiub adalah salah satu jenis bekalan air bawah tanah. Air bawah tanah ialah air yang wujud di dalam liang-liang tanah dan batuan (Saidu et al., 2020). Air bawah tanah merupakan sumber air tawar yang bernilai dengan kandungan mineral yang seimbang (Trivedi et al., 2017). Ia merupakan sumber air yang boleh diminum paling kerap di seluruh dunia (Elemile et al., 2019). Hampir separuh daripada air minuman dan pertanian dunia berasal daripada sumber bawah tanah (Saidu et al., 2020). Walaupun ia banyak di alam semula jadi, meliputi 71% permukaan planet, hanya 1% daripadanya sesuai untuk kegunaan manusia (Trivedi et al., 2017). Air bawah tanah digunakan untuk pelbagai kegunaan di seluruh dunia, termasuk kegunaan domestik, bekalan industri dan pengairan. Namun begitu, pencemaran air bawah tanah kebanyakannya disebabkan oleh pembuangan sisa, tumpahan yang tidak disengajakan, pertanian, tangki septik, dan pemendapan udara. Bahan cemar terlarut dibawa ke dalam air bawah tanah dengan meresap air tanah, manakala bahan cemar cecair organik boleh memasuki air bawah tanah dengan sendirinya.

Air telaga tiub di UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka (Gambar 1) adalah penting kepada residen sebagai sumber alternatif air sekiranya bekalan air secara terus berkurangan atau tidak mencukupi, maka kualitinya perlu diperiksa secara berkala bagi memastikan penggunaannya berterusan.

Aktiviti persampelan dan analisis air daripada telaga tiub di UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka telah dijalankan selama empat minggu berturut-turut oleh pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kimia Pengurusan untuk menentukan fizikokimia kualiti air daripada sumber telaga tiub tersebut. Setiap sampel dikumpul dalam botol plastik HDPE bersaiz 50 mL berserta dengan penutup botol dan termasuk pelekat pelabelan yang digunakan untuk melabelkan sampel menggunakan pen penanda. Pada pelekat pelabelan, butiran tentang minggu yang diambil dan nombor sumber telaga tiub dilabelkan. Semua sampel disimpan dalam kotak polistirena dan segera dipindahkan ke makmal untuk dianalisis.

Parameter fizikokimia sampel air telaga tiub telah ditentukan dalam kajian ini, termasuk suhu, pH, Oksigen Terlarut (DO), Jumlah Pepejal Terlarut (TDS), kekonduksian, Jumlah Pepejal Terampai (TSS), dan kekeruhan, serta kepekatan logam berat. Hasilnya kemudian dibandingkan dengan piawaian World Health Organization (WHO) untuk memastikan kualiti air yang baik sebelum diminum dan untuk kegunaan harian yang lain.

Keputusan menunjukkan bahawa kebanyakan fizikokimia dalam penilaian berada di bawah tahap yang disyorkan oleh WHO. Hanya beberapa nilai pH dan kekeruhan dalam analisis ini melebihi nilai maksimum yang dibenarkan dan diperlukan oleh WHO. Nilai kepekatan logam berat juga telah dianalisis dan menunjukkan bacaan logam Mn dan Cd melebihi nilai piawaian yang ditetapkan. Memandangkan logam berat cenderung terkumpul dari semasa ke semasa, pemeriksaan air secara berkala dari telaga harus dilakukan, supaya kepekatan logam berat dapat dikawal dengan baik selaras dengan keperluan Sustainable Development Goals (SDG) iaitu SDG 6 sumber air bersih dan sanitasi.