Lawatan Kerja UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau Ke KOMSAT Tingkatkan Kompetensi Staf Makmal Sains

TAWAU, 21 Ogos 2023: Seramai dua orang staf Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau buat julung kalinya telah mengadakan lawatan penanda aras dan latihan kompetensi ke Kompleks Makmal Sains dan Agroteknologi (KOMSAT), UiTMCSH Kampus Kota Kinabalu bermula 15 hingga 17 Ogos yang lalu. Lawatan selama tiga hari bertujuan meningkatkan pengetahuan, pengalaman serta perkongsian dalam pemerkasaan pengendalian amali pelajar Program Pra Diploma telah dihadiri oleh Koordinator Kampus, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling, juga selaku Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Gunaan dan Encik Jemat Julaihi Basri, Pembantu Makmal Sains, Unit Makmal Sains, Bahagian Hal Ehwal Akademik.

Dalam pada itu, program lawatan merangkumi taklimat ringkas Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Makmal, Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), KOMSAT serta beberapa projek inovasi yang telah meraih kemenangan dalam pertandingan yang disampaikan oleh Encik Mohd Sufri Salimun, selaku Pengerusi, Jawatankuasa Keselamatan KOMSAT. Semasa lawatan ke setiap makmal-makmal, staf KOMSAT telah berkongsi pengetahuan serta maklumat mengenai pengurusan makmal seperti perolehan, penyimpanan, pengendalian, penyelenggaraan dan pelupusan peralatan makmal dan bahan kimia mengikut pecahan bidang iaitu Kimia, Biologi dan Fizik.

Sementara itu, sesi latihan pengendalian dan penyediaan amali program Pra Diploma Agroteknologi turut dikongsikan oleh Puan Anah Huda, Pembantu Makmal Kanan, selaku staf yang mengendalikan amali pelajar.

Akhir sekali, ucapan penghargaan sebagai penutupan program lawatan telah disampaikan oleh Koordinator KOMSAT, UiTMCSH Kampus Kota Kinabalu, Ts. Siti Aminah Tengah@ Mohammad kepada staf Unit Makmal Sains, UiTMCSH Kampus Tawau.

Sebagai rekod, Unit Makmal Sains UiTMCSH Kampus Tawau telah mula beroperasi sejak 4 Mei 2015.