Medcomm Digital Leadership Summit 2023: Perintis Kepimpinan Digital Mahasiswa Kini

Shah Alam, 19 Ogos 2023 – Pemimpin mahasiswa masa kini perlu memanfaatkan kuasa teknologi digital untuk mewujudkan budaya organisasi yang telus, relevan, bermakna, menarik dan memberi inspirasi. Usaha ini adalah relevan dengan dunia masa kini, di mana manusia semakin bergantung kepada teknologi. Untuk menjayakan usaha ini, pemimpin mesti berani membuat perubahan dan menghapuskan rasa takut, salah anggapan dan pemikiran negatif berkaitan penggunaan teknologi seperti media sosial, peranti mudah alih dan lain-lain lagi. Sebaik sahaja kesemua halangan kepada perubahan ini dihapuskan, mereka perlu mewujudkan visi untuk penggunaan teknologi yang berkesan dan untuk meningkatkan pelbagai aspek kepimpinan.

Kelab Media Komunikasi (MEDCOMM) Siswa, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Shah Alam telah menganjurkan program MEDCOMM Digital Leadership Summit 2023 dengan membawa tema “Serve with Pride and Lead with Confidence”. Program ini berlangsung selama 4 hari 3 malam bertempat di Redang Holiday Beach Resort, Kuala Terengganu. Program ini membawa objektif mengenalpasti dengan efektif tentang tugas, tanggungjawab serta fungsi sebagai seorang pemimpin di bidang berbeza, merancang dan mengurus strategi untuk bekerja sebagai satu pasukan dalam menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkenaan agenda pemerkasaan mahasiswa, dan merangka strategi ketampakan BHEP serta UiTM secara lebih meluas menggunakan platform media sosial terkini yang lebih mesra pelajar.

Pelbagai perancangan serta aktiviti berbentuk elemen kesukarelawanan, kemahiran komunikasi antarabangsa, industri kreatif yang secara tidak langsung telah mencapai Performance Index (PI) BHEP 28, 31, dan 36 serta matlamat pembangunan lestari (SDG) iaitu Pendidikan Berkualiti (SDG 4), Industri, Inovasi dan Infrastruktur (SDG 9) dan Kehidupan dalam Air (SDG 14). Antara aktiviti yang telah dilaksanakan adalah perbincangan penjenamaan, pengurusan pentadbiran dan media sosial, pembudayaan tradisi, kolaboratif bersama industri, dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama komuniti sekitar. Majlis Perasmian Penutup MEDCOMM Digital Leadership Summit 2023 telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Encik Mohammad Faez Ne’man selaku Penasihat MEDCOMM Siswa.

Secara keseluruhannya, program MEDCOMM Digital Leadership Summit 2023 telah mencapai objektif dalam mengukuhkan struktur pengurusan organisasi serta merancang program-program pembangunan pelajar yang berimpak tinggi di samping meningkatkan tahap ketampakan BHEP dan UiTM menuju Globally Renowned Univesity pada tahun 2025.