Majlis Penutup Kempen Kesedaran Autisme 2023

“Hidup tak semuanya indah dan sempurna. Tetapi kelainan dan keistimewaan itu yang menjadikan hidup ini lebih indah dan sempurna.”

24 Ogos 2023 – Kesedaran Autisme 2023 ini bermula dengan penyertaan seramai 645 pelajar dari UiTM Cawangan Perlis yang telah terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas yang menerapkan nilai-nilai kesedaran tentang autisme merentasi silibus. Tujuan utama kempen ini diadakan adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar UiTM Cawangan Perlis bahawa setiap insan adalah istimewa termasuk kanak-kanak autisme.

Kemuncak kepada kempen ini adalah pada Majlis Penutup Kempen Kesedaran Autisme 2023 yang telah diadakan dengan jayanya pada 24 Ogos 2023 di Rumah Amal Little Hiccups, Kangar, Perlis. Pelbagai aktiviti yang bermanfaat kepada anak-anak autisme dan juga masyarakat umum telah diadakan. Para jemputan telah dibawa melawat aktiviti harian anak-anak Little Hiccups, antaranya kelas membaca al-Quran Quranis. Program ini telah memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat perjalanan aktiviti harian anak-anak istimewa ini secara lebih dekat lagi dan seterusnya memberi satu pengalaman baru yang telah ‘membuka mata’ masyarakat tentang kegigihan, ketabahan, dan kesabaran ibubapa dalam membesarkan anak-anak istimewa.

Antara aktiviti lain yang diadakan adalah jualan amal dan tayangan video demonstrasi menanam pokok. Perasmian penutupan kempen telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr Latisha Asmaak Shafie, Ketua Pusat Pengajian Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Perlis. Turut hadir memeriahkan program ini adalah Pengerusi Little Hiccups, Encik Shaharim bin Saad, dan Pengerusi PEWANI UiTM Cawangan Perlis, Ts. Dr. Nur Aminah binti Ramli. Program setengah hari ini diakhiri dengan aktiviti-aktiviti untuk anak-anak Little Hiccups iaitu mengecap tapak tangan sebagai mural dan projek menanam pokok herba yang telah melibatkan pensyarah dan fasilitator yang terdiri daripada pelajar dari Fakulti Perladangan dan Agroteknologi.

Kempen Kesedaran Autisme 2023 ini telah dianjurkan oleh Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Perlis sebagai salah satu inisiatif di bawah MoU di antara UiTM Cawangan Perlis dengan Little Hiccups. Turut menjayakan program kolaborasi ini adalah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik UniMAP serta Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Perlis.