PENEMUAN SPESIES LALAT BAHARU DI MALAYSIA

SUNGAI BULOH, 18 Ogos 2023 – Satu spesies lalat baharu telah ditemui melalui kerja lapangan berkaitan biodiversiti lalat berkepentingan forensik di Selangor, Malaysia. Spesies lalat baharu tersebut dinamakan secara saintifik sebagai Dichaetomyia natashae (Diptera: Muscidae) merupakan spesies lalat yang bersifat nekrofilik iaitu tertarik kepada bau pereputan dan berkemungkinan memainkan peranan sebagai pereput di ekosistem paya bakau semulajadi di Selangor.

Pendedahan menarik ini adalah hasil daripada sebahagian daripada tinjauan entomologi yang dijalankan di kawasan paya bakau pantai tropika di Selangor. Pada 9 September 2019, lalat-lalat ini dikumpul dan dikenal pasti sebagai spesies baharu melalui beberapa ciri berbeza yang mampu membezakan mereka daripada spesies yang lain dari genus Dichaetomyia. Proses identifikasi untuk mengesahkan lalat ini sebagai spesies baharu adalah berdasarkan ciri-ciri morfologi dan analisis DNA. Dichaetomyia natashae menunjukkan ciri-ciri genetik dan morfologi yang unik daripada spesis lain justeru membawa kepada penemuan menarik ini. Spesies baharu ini ditemui melalui kerjasama antara penyelidik dari National Institute of Infectious Diseases, Jepun, Universiti Teknologi MARA (UiTM), dan Universiti Malaya (UM). Tiga penyelidik yang terlibat dalam pengenalpastian spesies lalat ini adalah Dr. Hiromu Kurahashi (Pakar Taksonomi Lalat dari Jepun), Profesor Madya Dr. Heo Chong Chin (Pakar Entomologi Forensik, UiTM), dan Dr. Low Van Lun (Pakar Entomologi Genetik, UM).

Spesies baharu ini dinamakan sempena Cik Nur Aliah Natasha Azmi (pelajar Doktor Falsafah, Fakulti Perubatan, UiTM) yang merupakan pengumpul lalat ini. Sampel-sampel yang dikutip telah didepositkan di National Museum of Nature and Science, Tsukuba (NSMT) di Jepun dan juga di Institut Bioteknologi Molekul Perubatan (IMMB) di Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA, Selangor, Malaysia.

Penemuan ini tidak hanya memperkaya pemahaman kita mengenai kepelbagaian lalat berkepentingan forensik dan ekologi pereputan di Malaysia tetapi juga membuka ruang untuk penyelidikan lebih lanjut untuk meneroka sepenuhnya kepelbagaian serangga di Malaysia.