Pelancaran Siri Webinar Perkongsian Alumni Ukur Bangunan

Selaras dengan usaha memupuk minat yang mendalam di kalangan pelajar Ukur Bangunan, Pusat Pengajian Ukur Bangunan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU), dengan sokongan Bahagian Ukur Bangunan, Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) dan Malaysian Association of Registered Building Surveyors (MyRBS) telah mengambil inisiatif untuk memberikan pendedahan kepada para pelajarnya mengenai kerjaya yang berkaitan setelah bergraduat.

Tujuan utama program webinar yang dirangka untuk dijalankan secara bulanan ini adalah bagi mendapatkan perkongsian pengalaman para alumni Ukur Bangunan dalam pelbagai bidang yang diceburi sedari menggenggam diploma dan ijazah.

Selain itu, siri webinar ini juga diharapkan dapat menjadi platform perbincangan antara pelajar dan alumni berkisar kehidupan seharian alumni sebelum dan selepas bergelar graduan Ukur Bangunan. Program terbuka buat penyertaan umum secara percuma ini secara tidak langsung dapat memperkenalkan program Ukur Bangunan kepada pelajar sekolah dan orang awam.

Siri pertama webinar ini telah berlangsung pada 30 Oktober 2021, dilancarkan oleh Dekan FSPU, Ybhg. Profesor TPr Dr Jamalunlaili Abdullah, dengan Puan Nurita binti Saperi, Juruukur Bangunan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai alumni jemputan. Serba sedikit berkongsi pengalaman beliau di DBKL, Puan Nurita lebih banyak diajukan soalan daripada para peserta webinar mengenai kehidupan beliau sewaktu bergelar pelajar, terutamanya cara membahagikan masa sebagai pelajar yang aktif berpersatuan, dan pada masa yang sama mengungguli kecemerlangan akademik.