Memorandum Persefahaman (MoU) Dimeterai Antara UiTM Cawangan Sarawak Dan Jabatan Muzium Negeri Sarawak

(KUCHING) 11 November 2021, KHAMIS: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Jabatan Muzium Sarawak bagi menjalin kerjasama dalam beberapa bidang khususnya dalam bidang pemuliharaan dan penyelidikan.

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Prof. Dr. Firdaus Abdullah, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa yang turut menjalankan tugas-tugas Rektor UiTM Cawangan Sarawak serta mewakili Prof. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM di salah sebuah hotel terkemuka di Kuching pada hari ini.

Selain UiTM Cawangan Sarawak pada majlis yang sama, Jabatan Muzium Sarawak turut menandatangani MoU dengan pihak Heritage Conservation Centre Singapore yang diadakan secara virtual dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Majlis MoU tersebut telah disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dan juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak.

Hadir sama ke majlis berkenaan adalah Encik Tazudin Mohtar, Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Prof. Dr. Wan Hashim Wan Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UNIMAS, Puan Salmah binti Jobeli, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Prof. Dato Dr. Jamil Haji Hamali, mantan Rektor UiTM Cawangan Sarawak serta tetamu-tetamu lain.