Pelajar Pergigian Terpilih di Antara 600 Saintis Muda di Mesyuarat Pemenang Nobel Lindau ke-72

SUNGAI BULOH, 22 September 2023 – Pelajar pasca siswazah Fakulti Pergigian Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Norhasmira Mohammad mencipta sejarah apabila berjaya terpilih daripada 600 orang saintis muda di 72nd Lindau Nobel Laureate Meeting 2023.

Norhasmira atau lebih selesa dengan panggilan Has, memulakan pengajian pada tahun 2018 dan bakal bergraduasi pada sesi konvokesyen Mei 2023 ini. Pelajar yang meminati bidang pengaturcaraan ini memilih Fakulti Pergigian UiTM untuk meneruskan pengajian di peringkat Doktor Falsafah di bawah seliaan Prof. Dr. Mohd Yusmiaidil Putera Mohd Yusof.

Difahamkan, hanya lima orang pelajar Malaysia yang terpilih menyertai Lindau Nobel Laureate Meeting ini, dan hanya beliau yang berjaya menempa nama sehingga ke peringkat akhir selepas mengharungi proses interview yang panjang. Pelajar ini telah pun menerima jemputan ke Lindau, Jerman, pada hujung Jun 2023 dan berpeluang menimba ilmu pengetahuan serta pengalaman Bersama pakar saintis psikologi dan perubatan pada 2023 Lindau Meeting tersebut. Menurut ibu kepada tiga orang anak kecil ini, penyertaan Lindau Nobel Laureate Meeting ini bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak kriteria dan prosedur yang perlu dipenuhi, namun akhirnya rezeki memihak kepada beliau.

Tambahan lagi, pelajar yang berasal dari Melaka ini turut berjaya menghasilkan beberapa artikel berindeks dan memenangi pingat lebih daripada 10 kali di pertandingan inovasi. Membawa nama UiTM ke peringkat antarabangsa, beliau menyatakan kejayaan ini bukanlah hasil usaha beliau sendiri sahaja, tetapi juga semangat dan tunjuk ajar daripada penyelia sepanjang tempoh pengajian.