TINGKATKAN PENGETAHUAN DAN KEPIMPINAN PELAJAR UiTM MELALUI PENYERTAAN JARINGAN ANTARABANGSA ISCA 2023

Program the International Summer Course Architecture (ISCA) 2023 dianjurkan oleh Universitas Sumatera Utara (USU), Medan, INDONESIA. ISCA 2023 yang bertemakan “Historic Urban Landscape Approach for Future Medan Architectural Heritage” dirancang untuk menampung penglibatan pelajar antarabangsa, pensyarah dan pakar dalam warisan budaya dan reka bentuk bandar.

Seramai 78 peserta daripada negara Indonesia, Malaysia, Timor Timur, Singapura dan Sudan telah menghadiri program ini. Ini termasuk pelajar antarabangsa seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Malaysia, Universidade Da Paz, Timor Timur, National University of Singapore, serta pelajar tempatan Indonesia daripada USU, Catholic University of Saint Thomas Medan, Universitas Bung Hatta, Padang, dan Ikatan Arsitek Indonesia.

Bagi rombongan UiTM, inisiatif tersebut diterajui dan diiringi oleh Dr Lim Seng Boon selaku Pensyarah Kanan Program Perancangan Bandar dan Wilayah serta dihadiri seramai 10 orang pelajar dari Jabatan Pengajian Alam Bina & Teknologi, Kolej Pengajian Alam Bina, Program Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah (Kepujian)(AP221) dan Program Sarjana Muda Seni Bina (Kepujian) (AP243) UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar. Kursus ini dijalankan di Universitas Sumatera Utara, Medan, Indonesia.

Peserta UiTM Perak dalam Program ISCA2023, Indonesia
Kiri Atas: Syamil, Aidil, Dr. Lim Seng Boon, Hadif, Ikhwan, Nora, Ayuni
Kanan Bawah: Anis, Farah, Zureen dan Erdina

Kursus ini dijalankan dalam pembelajaran hibrid (fizikal dan maya). Di mana, terdapat juga penyertaan dari kalangan pelajar dan pensyarah secara maya iaitu seramai 20 orang pelajar serta 2 orang pensyarah (Dr Nurbaidura Salim dan Ts Dr Wan Nur Rukiah Binti Mohd Arshard) dari Jabatan Pengajian Alam Bina & Teknologi, Kolej Pengajian Alam Bina. Terdapat juga peserta dari pelbagai negara. Secara keseluruhannya, sebanyak 32 peserta menyertai secara fizikal, dan selebihnya 46 peserta mengikuti secara atas talian sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan ialah 78 orang pelajar dari pelbagai negara.

Program ISCA berlangsung selama 10 hari, bermula dari 01 Ogos hingga 10 Ogos 2023. Kursus ini adalah bertujuan untuk mendedahkan para pelajar berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan atau kawasan bersejarah. Tambahan, kursus ini juga menyediakan bengkel pembelajaran tentang kaedah yang digunakan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan atau kawasan bersejarah seperti Digging4data, Quick Scan Method of HUL, Historic Urban Landscape (HUL), Cultural Mapping dan Cultural Heritage Management serta lawatan tapak sekitar kawasan Kota Kesawan, Medan, Indonesia untuk melihat dan mempelajari bangunan bersejarah yang ada di kawasan tersebut.

Aktiviti pembelajaran dalam kampus Universitas Sumatera Utara dan lawatan tapak ke kota warisan Kesawan, Medan, Indonesia

Pada hari pertama International Summer Course Architecture 2023 (ISCA), aktiviti yang dilakukan adalah majlis perasmian dan pengenalan berkaitan agenda kursus ini oleh ISCA USU 2023 Chairman, Dean Of Engineering Faculty Serta Rector Of USU dan pada waktu petang, pengenalan tentang sejarah dan cabaran yang dihadapi oleh Kota Medan oleh Dr. Isnen Fitri. Aktiviti hari kedua, bengkel teori ‘Digging4data’ dan aktiviti pada waktu petang adalah pembahagian kumpulan dan tugasan berkaitan mengumpul data dari artikel, laman web serta sumber-sumber data bagi kajian kes bangunan dan kawasan bersejarah.

Pada hari ketiga, para pelajar perlu membentangkan tugasan yang telah diberi mengikut kumpulan di hadapan pensyarah dengan penggunaan Bahasa Inggeris, dan pada waktu petang para pelajar menghadiri bengkel teori berkaitan ‘Cultural Mapping’ yang disampaikan oleh Dr. Ulrike Herbig dari TU Wien, Austria.

Pada hari keempat dan hari ketujuh, peserta dibahagikan kepada empat kumpulan untuk tinjauan lapangan bagi pengumpulan data di sekitar kota warisan Kesawan, Medan, Indonesia. Pada hari kelima, pelajar perlu menghadiri bengkel “Introduction to Historic Urban Landscape’ oleh Prof Johannes Widodo dan pada waktu petang teori berkaitan ‘Cultural Heritage Management’ oleh Dra Hasti Tarekat.

Aktiviti pameran dan penganugerahan, dan melawat ke kota Medan dan Brastagi, Indonesia

Bengkel untuk hari keenam ialah berkaitan ‘Historic Urban Landscape Quick Scan Method’ oleh Prof Kemas Ridwan Kurniawan. Hari kelapan para peserta diminta untuk membuat pembentangan akhir mengikut kumpulan yang telah ditetapkan semasa hari lawatan tapak berkaitan pengumpulan data dan analisis data.

Hari penutup program dan penganugerahan telah jatuh pada hari kesembilan. Dan pada hari kesepuluh iaitu hari terakhir program, semua peserta dibawa ke kota Medan dan tempat peranginan Brastagi untuk melihat pemandangan dan membeli-belah.

Yang menjadi kebanggaan Malaysia dalam program ISCA 2023 ini adalah wakil UiTM, saudari Noradzsyiah Adzhar (AP221) telah dianugerahkan antara pelajar yang paling aktif sepanjang program berlangsung. Manakala kepada kumpulan pembentangan dan laporan terbaik, enam orang wakil pelajar dari UiTM iaitu Syamil Lukman Jamaludin (AP243), Nur Erdina Afza Zulkifli (AP221), Nur Dini Nayli Binti Kamarul Bahrim (AP243), Ilya Afiqah Binti Ahmad Jihadi (AP221), Athirah Izzwani Binti Abdul Halim (AP221), dan Muhammad Fitri Bin Azmi (AP221) telah memenangi anugerah tersebut.

Pemenang-pemenag Program ISCA 2023.
Kiri: Saudari Nora – The Best Participant Award
Kanan: Saudara Syamil, Saudari Erdina dan rakan – The Best Group Award

Secara keseluruhannya, penglibatan pelajar dalam kursus International Summer Course Architecture (ISCA) 2023 adalah suatu pengalaman pembelajaran dan kepimpinan yang sangat berharga untuk pelajar UiTM Perak kerana para pelajar dapat menambah ilmu pengetahuan, pengalaman memimpin dan kemahiran sosial bersama pensyarah dan peserta dari pelbagai negara dan latar belakang. Akhir kalam, kaedah Historic Urban Landscape (HUL) yang dipelopori oleh UNESCO dan juga dalam program ISCA ini adalah sangat membantu para pelajar meningkatkan kemahiran berfikir secara kritikal tentang pemuliharaan landskap bersejarah di ruang bandar serta dapat memupuk profesionalisme perancang bandar/ arkitek muda yang menjiwai kepentingan sumber landskap bersejarah ke arah pembangunan mampan.