Pelajar Fakulti Sains Sukan & Rekreasi UiTM Shah Alam Anjur Program “Save The Nature” di Kampung Nelayan Pulau Perhentian

BESUT, 11 Jun 2023 – Program “Save The Nature” merupakan program komuniti yang telah berjaya dilaksanakan dengan melibatkan 42 orang pelajar Sarjana Muda Pengurusan Sukan (Kepujian) dari Fakulti Sains Sukan & Rekreasi (FSR) Universiti Teknologi MARA Shah Alam di Kampung Nelayan Pulau Perhentian, Terengganu. Tiga orang pensyarah pengiring turut serta didalam program ini menjadikan program ini lebih lancar dengan nasihat dan panduan secara langsung atau tidak langsung.

Program yang berlangsung pada 11 Jun 2023 ini telah bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir sekitar jam 11.00 pagi ini juga telah melibatkan penduduk sekitar kampung nelayan dan para pelajar sekolah bagi memupuk dan membudayakan budaya pemeliharaan alam sekitar dengan membuang sampah di tempat yang betul supaya segala kehidupan dilaut dan didarat terpelihara bertepatan dengan slogan program “Save The Nature”. Para pelajar telah melakukan aktiviti pembersihan persisiran pantai dan telah berjaya mengumpulkan sebanyak 77.7kg sampah yang terdiri daripada plastik, kaca dan kertas.

Program ini telah memanfaatkan banyak pihak seperti penduduk Kampung Nelayan dan pelancong yang hadir. En Mohd Zakuwan Bin Mat Nasir selaku Ketua Kampung Nelayan telah menyempurnakan program CSR tersebut. Program CSR ini juga telah mendapat tajaan daripada Selgate Corporation sebanyak RM5000 dan sekaligus menjadi penyumbang utama dalam program dijalankan. Selain itu, objektif utama program ini adalah untuk memupuk semangat berpasukan dan untuk mewujudkan kesedaran kepada pelancong dan penduduk kawasan sekitar betapa pentingnya menjaga kebersihan di kawasan pantai.

Secara keseluruhan, program “Save The Nature” ini dapat membantu menarik pelancong dari luar dan dalam negara dengan adanya pantai yang bersih. Selain itu, program ini dapat memupuk sifat pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan pelajar, pelancong dan masyarakat supaya terus menjaga alam sekitar daripada tercemar. Harapan kami agar program sebegini akan terus dilaksanakan pada masa akan datang yang dapat memanfaatkan lebih ramai warga UiTM.