Pelajar Fakulti Pendidikan Panelis Sesi Wawancara Amazing Reads, Amazing Rewards

Baru-baru ini, pelajar Program Pendidikan Matematik, Fakulti Pendidikan, Saudari Nur’ainun Sa’adah Mohd Assri, telah tambil sebagai salah seorang panelis untuk sesi wawancara Amazing Reads, Amazing Rewards yang dianjurkan oleh Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM). Pasukan yang diketuai oleh Saudari Nur’ainun Saadah telah dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan tempat ketiga Pertandingan Amazing Reads, Amazing Rewards. Sesi wawancara yang dianjurkan oleh PTAR ini turut membariskan juara serta naib juara pertandingan ini sebagai panelis.

Wawancara Pemenang Amazing Reads, Amazing Rewards ini dimoderasikan oleh Puan Siti Salwa A. Rahman dan turut disiarkan melalui saluran YouTube dan Facebook rasmi PTAR. Antara lain, pengisian wawancara tertumpu kepada motivasi pemenang dalam menyertai pertandingan ini, kriteria pemilihan bahan bacaan, proses penyediaan material untuk video pertandingan, aspirasi serta halatuju pengisian video penyertaan.

Pasukan Saudari Nur’ainun Saadah terdiri daripada beliau sendiri selaku ketua dan ahli-ahli pasukan: Saudari Nurul Kaisah Kamarul Bahrin, Saudari Norsyahirah Aznor dan Saudari Kahrunnadia Mohd Rodzi, kesemuanya pelajar semester ketiga, Program Pendidikan Matematik, Fakulti Pendidikan. Pasukan ini telah dipilih sebagai pemenang tempat ketiga keseluruhan berdasarkan kedudukan mereka di dalam tiga tangga teratas untuk kategori-kategori berikut: Akademik, Kreativiti, Kandungan dan Kemahiran Penggunaan Aplikasi Terkini.

Pertandingan Amazing Reads, Amazing Rewards ini terbuka kepada semua pelajar UiTM dan merupakan inisiatif galakan membaca di kalangan warga pelajar. Penyertaan adalah dalam bentuk video berdurasi 3-minit yang dihasilkan berdasarkan ulasan buku elektronik yang dipilih. Bertemakan technology-enhanced learning dan berdasarkan buku yang bertajuk Quality of Teaching and Educational Reform, video pasukan Saudari Nur’ainun Sa’adah memfokuskan kepada cabaran melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan terutamanya semasa dunia menghadapi pandemic Covid-19.

Selain daripada pasukan Saudari Nur’ainun Sa’adah, dua lagi pasukan dari Fakulti Pendidikan turut memenangi tiga tempat teratas untuk beberapa kategori pertandingan. Penyertaan pasukan-pasukan pelajar Fakulti Pendidikan adalah melalui penghantaran video yang dibangunkan untuk kursus Innovative Technologies in Teaching and Learning (EDU456). Syabas kepada pensyarah-pensyarah Fakulti Pendidikan yang membuka laluan kepada penyertaan ini, dan setinggi-tinggi tahniah kepada Saudari Nur’Ainun dan pasukan.