MISA SMART CIRCLE (MSC) 2020

Puncak Alam – Program MISA Smart Circle (MSC) merupakan salah satu program pembangunan modal insan yang telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA), Fakulti Sains Kesihatan. Matlamat program ini adalah untuk memperkasakan akhlak dan melengkapkan diri mahasiswa dengan ilmu kerohanian. Selain itu, program ini diadakan untuk memupuk sahsiah diri yang terpuji, berbudi pekerti, dan berkeyakinan diri apabila berhadapan dengan orang ramai. Program ini telah berlangsung selama empat minggu bermula dari 29 Oktober dan seterusnya pada 5, 12 dan 19 November 2020 melalui pelbagai platform dalam talian seperti Google Meet, Cisco Webex dan juga Microsoft Team. Program ini telah disertai oleh semua pelajar MISA yang beragama Islam dan bukan beragama Islam, dan turut disertai oleh staf Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan.

Topik-topik perbincangan telah disusun rapi oleh Exco Kerohanian, Kebajikan dan Kaunseling (3K) MISA meliputi aspek akidah, ibadah dan akhlak untuk digunapakai sepanjang program berlangsung. Program MSC ini dimulai dengan bacaan ayat-ayat al-Quran berserta terjemahan, diikuti dengan pembentangan topik yang disampaikan oleh wakil pelajar bagi setiap kumpulan dan diakhiri dengan perbincangan isu-isu semasa. Antara topik yang dibincangkan adalah berkaitan tokoh-tokoh Islam yang terkemuka seperti Salman al-Farisi, Mush’ab bin Umair dan Bilal bin Rabah.  Keperibadian yang unggul dan semangat dalam menyebarkan sinar dakwah perlu diteladani oleh mahasiswa agar tidak mudah berputus asa walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan dalam kehidupan seharian.

Selain itu, topik perbincangan untuk pelajar bukan Islam turut disusun rapi mencakupi aspek akhlak dan kemasyarakatan. Perkongsian berkisar nilai-nilai moral yang diterapkan dalam agama seperti menghormati orang yang lebih tua, bersopan santun dalam berkomunikasi dan mempunyai ehsan serta belas kasihan sesama manusia telah dikupas dalam program MSC ini. Pelajar juga turut berkongsi tentang adab-adab dalam menuntut ilmu.

Secara keseluruhannya, program MISA Smart Circle ini dilihat mampu mewujudkan suasana yang harmoni dalam kalangan pelajar. Selain itu, aktiviti sebegini dapat menambah ilmu pengetahuan mahasiswa terutama dalam aspek kerohanian sekaligus dapat memberi impak yang positif kepada keperibadian mahasiswa. Semoga program ini dapat melahirkan modal insan yang seimbang daripada aspek spiritual dan juga intelektual.