Pautan Hati ‘Keluarga Malaysia’

Konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang bersifat inklusif telah diperkenalkan kepada rakyat Malaysia dalam mendepani kehidupan. Konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang telah dilancarkan dan diserapkan dalam pentadbiran negara kita ini adalah demi kesejahteraan dan kepentingan rakyat Malaysia. Ianya bukanlah satu retorik atau slogan semata-mata. Dalam merealisasikan dan menyahut usaha kerajaan ini, pensyarah Bahasa UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub merangkap sebagai seorang ahli Pertubuhan IKRAM Pahang Barat telah menyertai program ‘Sumbangan Prihatin Ramadhan 2021’ anjuran Yayasan IKRAM dan Pertubuhan IKRAM Pahang Barat pada 9 Oktober 2021. Program yang dijalankan ini dapat memenuhi hasrat kearah usahasama penglibatan akademik dan bukan akademik dalam menyantuni program berbentuk kemasyarakatan berteraskan ‘Keluarga Malaysia’.

Matlamat program ini adalah untuk membantu golongan mereka yang memerlukan disamping mengikat tali silaturrahim antara pihak warga universiti, NGO dan penduduk setempat. Program ini juga bertujuan untuk memberi suntikan semangat kepada anak-anak penerima sumbangan yang terkesan untuk terus berusaha dan berjaya dalam kehidupan mereka. Program ini melibatkan bantuan sumbangan kepada golongan penerima dari Kampung Kundang Patah, Raub, Pahang yang terdiri daripada golongan asnaf, mangsa banjir dan mereka yang terjejas sumber kewangan kesan daripada tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pandemik COVID-19 yang berlaku di dalam negara.

Walaupun program ini berdepan dengan beberapa kekangan seperti perintah kawalan pergerakan yang perlu dipatuhi, namun ianya tetap berjaya dijalankan dengan penuh sempurna dan mematuhi segala prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Seramai 25 orang penerima sumbangan yang terlibat di dalam program ini dan mereka terdiri daripada golongan asnaf, mangsa banjir yang terkesan dengan banjir teruk pada penghujung tahun 2020 dan mereka yang menghadapi kesulitan sumber kewangan dalam masa pandemik COVID-19 ini. Bantuan sumbangan berupa barangan keperluan dapur telah diagih dan diserahkan kepada semua penerima yang disenarai oleh para wakil yang menyertai program ini. Keunikan program ini dapat dilihat dalam usaha murni yang berunsurkan masyarakat prihatin dan penyayang dalam menyantuni program kemasyarakatan ini.

Program ini telah memberi impak yang besar dan penting dalam memupuk nilai murni dan amalan ihsan dalam kehidupan bermasyarakat. Tidak ketinggalan juga, program ini menjurus kepada nilai perpaduan dan melambangkan nilai kebersamaan dalam menghadapi segala cabaran. Sumbangan prihatin rakyat ini turut menyumbang ke arah kesejahteraan hidup dan menjadi pemangkin kepada golongan penerima untuk terus maju ke hadapan. Selaras dengan situasi semasa, program ini juga turut membawa hala tuju untuk sama-sama berganding bahu dalam usaha pemulihan negara dan merapatkan jurang ekonomi rakyat.