Memorandum Persefahaman (MoU) Dimeterai Antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Pulau Pinang

11 Oktober 2021 – Satu perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Pulau Pinang telah termeterai bagi memperkukuhkan lagi kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak. Majlis ini telah dijalankan secara tertutup dihadiri oleh beberapa Ahli-ahli Majlis MBSP di Dewan Kenanga MBSP dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

UiTM diwakili oleh Ybhg. Prof. Ts. Dr. Salmiah Kasolang, Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang disaksikan oleh YBrs. Prof. Madya ChM Dr. Nor Aziyah Bakhari, Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni UiTMCPP manakala MBSP pula diwakili oleh YBhg. Dato’ Sr. Hj. Rozali Hj Mohamud, Datuk Bandar Seberang Perai sambil disaksikan oleh YBrs. Pn. Siti Haslinda Hasan, Pengarah, Jabatan Khidmat Pengurusan MBSP.

MoU ini adalah inisiatif Rektor UiTMCPP, Ybhg. Prof. Ts. Dr. Salmiah Kasolang dan turut dibantu oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Hashim Fadzil Ariffin dan YBrs. Dr. Anderson Ngelambong dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan. Perbincangan menandatangani MoU ini tercetus sewaktu penglibatan kerjasama staf FPHP dan MBSP dalam menjayakan beberapa siri konferens sejak tahun 2018.

Pemeteraian MoU ini dapat memberi peluang kepada kedua-dua pihak bekerjasama dalam mengadakan program usahasama merangkumi pelbagai bidang yang hasilnya akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat khususnya. Kerjasama strategik ini termasuk penganjuran persidangan, seminar, bengkel, aktiviti kemasyarakatan dan program kesukarelawanan seperti pendedahan tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar kepada orang awam.

Selain itu, MBSP juga turut terlibat dalam program penyelidikan, penerbitan, perundingan dan juga latihan industri pelajar UiTMCPP. Melalui perkongsian kepakaran dalam bidang penyelidikan, ianya diharap dapat menghasilkan beberapa idea kreatif dan inovatif yang akhirnya memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan juga masyarakat setempat. Hubungan yang terjalin melalui MoU ini akan memberi impak yang tinggi khususnya kepada Pelan Strategik MBSP yang menjurus kepada pembangunan Bandar Rendah Karbon. Malah ianya juga turut menumpukan kepada perkembangan eko-pelancongan, teknologi hijau dan seumpamanya.