Latihan Industri II (FPA310) Pelajar Diploma Pengurusan Ladang, FPA UiTM Cawangan Pahang

Seramai 150 orang pelajar Diploma Pengurusan Ladang (AT110) telah menjalani Latihan Praktikal II (FPA310) selama enam minggu yang bermula dari 16 Ogos 2021 sehingga 30 September 2021. Latihan praktikal yang dijalankan semasa cuti semester ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang dunia pekerjaan sebenar berkaitan industri perladangan dan pertanian.

Penyelaras Latihan Industri II, Encik Muhammad Esyam Bin Adip dan Koordinator Latihan Industri II, Cik Masriyah Binti Hamzah menjadi pengantara untuk membantu pelajar semasa proses pemilihan dan permohonan tempat latihan praktikal dengan pihak majikan yang dipilih.

Pihak majikan yang dipilih oleh pelajar untuk menjalani latihan praktikal terdiri dari pihak kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (Government Linked Companies) dan swasta yang menjalankan aktiviti hiliran perladangan dan pertanian yang meliputi bahagian ladang, penyelidikan dan teknologi pertanian. Usahawan berkaitan pertanian juga menjadi pilihan untuk pelajar menjalani latihan praktikal untuk sesi kali ini.

Impak Covid-19 yang melanda negara telah menyebabkan pemilihan tempat praktikal menjadi cabaran terbesar kepada pelajar kerana pihak majikan dan industri terpaksa berdepan dengan cabaran untuk mengikuti Standard Operasi Prosedur (SOP) semasa Pelan Pemulihan Negara dijalankan.

Untuk mengatasi masalah ini, pelajar yang terlibat perlu mengikuti garis panduan yang diberikan oleh pihak majikan dan pihak Universiti untuk melancarkan perjalanan latihan praktikal mereka. Arahan yang dikeluarkan seperti pemakaian penutup muka dan perjarakan sosial sering diperingatkan kepada para pelajar untuk memastikan pelajar dapat menghabiskan latihan praktikal tanpa menghadirkan risiko jangkitan penyakit.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak majikan banyak membantu pelajar dengan menyediakan pelan dan jadual yang sistematik untuk memastikan pelajar dapat menimba sebanyak mungkin ilmu berkaitan bidang perladangan dan pertanian ini.