MELTECH Scene Investigation (MSI)

Program MELTECH Scene Investigation (MSI) 2021 anjuran Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam telah diadakan melalui aplikasi Google Meet. Seramai 75 orang pelajar termasuk 13 orang penganjur, 12 orang fasilitator, 2 panel forum jemputan dan 48 peserta terlibat dalam menjayakan program ini. MSI 2021 ini telah dirasmikan oleh Ketua Pusat Pengajian, Dr. Mohd Nazri bin Abu.

Program ini merupakan usaha Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH) untuk memberikan pendedahan kepada pelajar baharu tentang bidang pengajian Teknologi Makmal Perubatan dan persatuan MELTECH serta memperkasakan minat pelajar baharu terhadap bidang pengajian sains teknologi makmal.

Panel forum yang dijemput merupakan pelajar semester 3 dan semester 7 program Teknologi Makmal Perubatan. Pengarah program, Muhammad Faris bin Hamdan berkata, program sebegini amat diperlukan sebagai persediaan awal bagi para pelajar baharu untuk meningkatkan keyakinan diri dalam berkomunikasi dan bekerjasama secara berkumpulan serta dapat mengaplikasikan nilai yang diperoleh pada masa hadapan. Hal ini dapat meningkatkan prestasi kerja dan persefahaman antara pelajar.

“Selain itu, diharapkan agar semua pelajar baharu mendapat pendedahan serba sedikit mengenai bidang pengajian teknologi makmal perubatan dan persatuan MELTECH,” katanya.