Optometris Disalahertikan Sebagai Juru Optik dan Oftalmologis.

Bagi pemakai cermin mata, sudah pastinya pernah membuat pemeriksaan mata dengan ‘tukang cek mata’ yang mana jarang dikenali sebagai optometris. Kebanyakkan orang awam hanya mengenali juru optik jika premis cermin mata itu yang berada di kedai-kedai lot mahupun di pasaraya. Hal ini telah menjadi kebiasaan bagi pengetahuan orang ramai oleh kerana profesi optometris jarang didengari. Profesi optometris yang mula wujud di Malaysia pada tahun 1979 ini memerlukan usaha yang lebih kuat untuk diperkenalkan kerana juru optik telah berpijak di Malaysia sejak sekian lamanya.

Optometris dan juru optik mampu memeriksa ralat kuasa mata seperti rabun jauh, rabun dekat, rabun silau dan rabun tua namun masih terdapat perbezaan yang ketara. Perbezaan ketara tersebut adalah adalah pengetahuan tentang kondisi mata secara menyeluruh. Optometris yang telah mencapai tahap pendidikan sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda optomeri ini telah dilatih dan mendapat semua ilmu berkaitan optik, mata dan penglihatan. Optometris adalah satu kerjaya yang autonomus yang mana mampu memberi diagnosa dan pengurusan penglihatan secara profesional. Manakala juru optik pula lebih menjurus pengetahuan berkaitan optik dan dispensari cermin mata.

Premis optometri dan juru optik telah berada di serata Malaysia dan orang awam perlu tahu siapakah yang memeriksaan mata mereka. Bukanlah syarat pemeriksaan kuasa mata itu wajib optometris namun adalah lebih baik jika dikendalikan oleh seorang optometris terutama bagi masalah penglihatan yang lebih kompleks seperti rabun dengan sakit kepala, mata juling dan rabun kanak-kanak.

Sejak 10 tahun kebelakangan ini, profesi optometris makin dikenali atas pertambahan bilangan universiti awam dan swasta yang menawarkan kursus optometri. Seramai lebih 4000 graduan optometris berjaya dihasilkan sehingga kini dan permintaan bagi profesi ini tidak menunjukkan akan berkurangan malah makin meningkat dari tahun ke tahun. Profesi ini dapat amat diperlukan di lapangan seperti di premis cermin mata, klinik pakar mata di hospital kerajaan dan swasta, pusat pembedahan refraktif seperti LASIK dan juga di pusat rehabilatasi pesakit penglihatan terhad.

Jika tadi, optometris disalaherti sebagai juru optik, profesi optometris yang berkhidmat di klinik pakar mata pula disalahertikan sebagai oftalmologis. Segelintir orang awam percaya optometris dan oftalmologis adalah sama namun sebenarnya adalah sangat berbeza. Optometris tidak mempunyai kelayakkan menguruskan pesakit dengan ubat dan pembedahan seperi oftalmologis. Ini kerana tahap pengetahuan optometri hanya terlingkup dalam penjagaan penglihatan primer iaitu pengurusan masalah penglihatan peringkat pertama dan perlu merujuk ke peringkat seterusnya sekiranya pelanggan mempunyai masalah penyakit mata dan tidak boleh diuruskan sekadar pemberian alat bantu penglihatan. Tugas tersebut digalas oleh oftalmologis yang mempunyai pengetahuan yang lebih mendalam mengenai pengurusan penyakit mata.

Orang awam yang mempunyai masalah mata seperti mata merah, hilang sebahagian penglihatan secara tiba-tiba dan sakit mata mencucuk perlulah segera berjumpa dengan oftalmologis. Bagi situasi di Malaysia, klinik pakar mata di fasiliti kerajaan memerlukan surat rujukan sekiranya ingin mendapat perkhidmatan klinik ini. Optometris boleh mengeluarkan surat rujukan bagi hal tersebut. Selain otometris, klinik keluarga swasta dan klinik kesihatan kerajaan juga boleh mengeluarkan surat rujukan tersebut. Namun, surat rujukan tidak diperlukan bagi klinik pakar mata swasta dan perkhidmatan oftalmologis dapat diterima segera.

Dengan penerangan mengenai optometris, juru optik dan oftalmologis ini, orang awam disaran cakna dan memahami tugas-tugas bagi ketiga-tiga profesi yang saling berkaitan ini. Setiap profesi mempunyai kepentingan dalam penjagaan serta kesihatan mata dan penglihatan. Secara ringkasnya, optometris mempunyai kelebihan dalam pengurusan masalah penglihatan, juru optik dalam pengurusan masalah optikal manakala oftalmologi dalam pengurusan masalah penyakit mata.