INOVASI CERUCUH SURIA MENYEMAI SEMANGAT PATRIOTIK DI SUNGAI PAHANG

SHAH ALAM, 26 Ogos2023 – Institut Pemikiran & Kepimpinan Melayu (IMPAK), Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan Universiti Teknologi Mara Cawangan Pahang dengan kerjasama Majlis Pembandaran Temerloh Pahang akan menganjurkan satu ekspedisi kemerdekaan dengan menggunakan teknologi inovasi terbaru iaitu kayak bertenaga solar akan menghilir Sungai Pahang bermula pada 26 Ogos 2023 hingga 27 Ogos 2023 yang akan berlepas di Jeti Feri Jerantut dan berakhir di Taman Esplanade Temerloh. Ekspedisi ini merupakan inisiatif IMPAK bagi menyemarakkan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-66 dan Sambutan Hari Malaysia Ke-60 yang bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.

Majlis Sambutan dan Perasmian akan diadakan pada 26 Ogos di Taman Esplanade Temerloh pada jam 2.00 petang yang akan dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM iaitu Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi. Ekspedisi ini akan menguji keberkesanan inovasi yang dihasilkan oleh anak tempatan dan juga kakitangan IMPAK iaitu kayak bertenaga solar yang merupakan inovasi pertama yang akan direkodkan penggunaannya sebagai pengangkutan dalam ekspedisi di Sungai Pahang. Dalam membantu usaha memperkenalkan teknologi solar kepada masyarakat, IMPAK berinisiatif menghasilkan inovasi dengan menggunakan tenaga solar iaitu melalui pembinaan Kayak Elektrik Bertenaga Solar ini. Inovasi ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat sebagai model bagi penghasilan lebih banyak produk berkonsepkan tenaga solar terutama di dalam sektor agrikultur seperti perikanan, penternakan, pertanian dan sebagainya lagi.

Selain daripada itu, para penyelidik IMPAK juga akan menghasilkan satu penulisan bagi pendokumentasikan nilai-nilai sejarah, kebudayaan dan kesenian yang diperolehi daripada tempat-tempat yang dilawati sepanjang ekspedisi ini berlangsung yang bermula dari daerah Lipis sehingga ke daerah Pekan. Lokasi Sungai Pahang dipilih berikutan pelbagai peristiwa sejarah yang penting telah berlaku di sepanjang sungai ini dan peristiwa bersejarah ini perlu di malar segar untuk dihayati oleh masyarakat terutamanya kepada generasi yang baharu.

Selain aktiviti berkayak ini, IMPAK juga membuat bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) dan Yayasan Digital Malaysia (YDM) akan menganjurkan Kempen Keselamatan Siber dan Pengenalan Kepada Ekonomi Digital di beberapa tempat di sepanjang sungai Pahang ini terutamanya di kawasan yang melibatkan masyarakat luar bandar khususnya di Jerantut dan Temerloh.

Program ini merupakan program ‘Tanggungjawab Sosial Korporat’ (CSR), IMPAK untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat berhubung keselamatan siber yang perlu diberikan perhatian penting. Program ini akan turut memperkenalkan kaedah perniagaan dalam talian (online) yang boleh memberikan manfaat kepada penduduk di luar bandar.