LAWATAN PENANDA ARASAN PROGRAM DIPLOMA TEKNOLOGI BINAAN (AP116/126) DAN SARJANA MUDA SAINS (KEPUJIAN) TEKNOLOGI PEMBINAAN (AP256/266) JABT, KOLEJ PENGAJIAN ALAM BINA, UITM CAWANGAN PERAK KE PUSAT PENGAJIAN PERUMAHAN, BANGUNAN DAN PERANCANGAN, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

Pada 15 Jun 2023, pensyarah-pensyarah Program Pembinaan UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar (iaitu Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Pembinaan AP256/AP266 dan Diploma Teknologi Binaan AP116/AP126) telah mengadakan lawatan penanda arasan dengan program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Bangunan, di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan & Perancangan, Universiti Sains Malaysia (USM). Lawatan ini disertai oleh 11 orang pensyarah yang terdiri daripada Kordinator Program, Ketua Bidang dan ahli, dan jawatankuasa NOBLe Program. Lawatan ini bertujuan untuk menanda aras kualiti pengajaran dan pembelajaran kedua-dua program dengan program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Bangunan di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan. Disamping itu, lawatan ini merupakan satu manifestasi untuk mewujudkan interaksi dua hala di antara kedua-dua universiti bagi berkongsi pengalaman dan idea yang bermanfaat.

Pemilihan program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Bangunan, di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan & Perancangan, Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai lokasi lawatan penanda aras kerana program ini mempunyai struktur kurikulum yang hampir sama dengan program Sarjana Muda Sains Teknologi Pembinaan AP256/266. Oleh itu, kualiti pengajaran dan pembelajaran dapat ditanda aras. Ketibaan rombongan ini telah disambut baik oleh Prof Madya Ts Dr Mohd Rodzi Ismail (Dekan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, USM), Dr Ariza Sharikin Abu Bakar (Ketua Program) dan pensyarah-pensyarah program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Bangunan. Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat oleh Dekan dan pengenalan program oleh Ketua Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Bangunan, HBP, USM. Antara perkongsian yang dilaksanakan adalah hala tuju program, kemasukan pelajar, kerjaya pelajar pada kedua-dua program, pelaksanaan kursus Final Year Project, pelaksanaan kursus Latihan Industri dan hal ehwal pembangunan pensyarah. Kemudian, peserta lawatan telah melawat bengkel dan makmal-makmal konkrit, kayu dan tanah yang mempunyai sistem pengurusan makmal yang baik.

Lawatan diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian cenderahati untuk kedua-dua universiti. Justeru, dengan penganjuran lawatan ni, adalah diharapkan agar dapat memberi manfaat serta mencapai objektif lawatan terutamanya meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran program Pembinaan di UiTM Cawangan Perak.

Laporan disediakan oleh Wan Nur Syazwani Wan Mohammad, Siti Akhtar Mahayuddin dan Mohd Najib Abd Rashid daripada Program Pembinaan, Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, Perak.