LIVE PITCHING MALAYSIA DATA INNOVATION TALENT X DOSM DATATHON (MDIT X DD 2023)

KUALA LUMPUR, 26 September 2023 – Universiti Teknologi MARA melalui Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) telah menjalinkan usahasama bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menjayakan sesi Live Pitching bagi program Malaysia Data Innovation Talent X DOSM Datathon (MDIT X DD 2023) pada 25 dan 26 September 2023.

MDIT X DD 2023 merupakan sebuah pertandingan ‘datathon’ peringkat kebangsaan yang menyaksikan penyertaan 100 buah kumpulan yang terdiri daripada mahasiswa universiti awam dan swasta Malaysia. Dengan tema “Smart Data Empowers Malaysia’s Future”, MDIT X DD 2023 memberi pendedahan kedampakan bidang analisis data terhadap pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Setiap kumpulan peserta dinilai dan disaring oleh panel juri yang terdiri daripada pegawai-pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Bank Negara Malaysia (BNM). Sepuluh (10) kumpulan terbaik telah dipilih dan diberikan peluang untuk membentang “idea pitch” secara langsung mengenai papan pemuka dan analisis data yang dihasilkan. Panel penilai sesi “idea pitch” adalah terdiri daripada Encik Herzie bin Mohamed Nordin (Pengarah Bahagian Integrasi dan Pengurusan Data, Jabatan Perangkaan Malaysia), Dr. Ho Chiung Chin (Senior Saintis Data, Jabatan Pengurusan Data dan Statistik, Bank Negara Malaysia), Cik Queenie Wong (Ketua Pegawai Teknologi, Statworks Group), Cik Rohini A/P Sooriamoorthy (Pengarah Penasihat Pelanggan ASEAN, SAS) dan diketuai oleh Dr. Ahmad Fazreen bin Baharuden, Pengarah Business Insight and Analytics, Datamicron Sdn. Bhd.

Majlis Live Pitching MDIT X DD 2023 turut dihadiri oleh YBrs. Encik Zuraidy Hg Zainal Abidin, Pengarah Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) mewakili YBhg. Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia. Gimik perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Ts. Dr Haryani Haron, Penolong Naib Canselor, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM).

Rookie Patchers dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dinobatkan sebagai juara MDITXDD 2023 dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,500 dan plak penghargaan. Mereka turut meraih Anugerah Pembentang Terbaik dan “Insightful Infographic Award” lantas membuktikan kehebatan mereka dalam pertandingan ini. Naib Juara disandang oleh kumpulan The Guys dari Universiti Asia Pasifik (APU) yang telah menerima wang tunai sebanyak RM2,500, plak penghargaan serta Anugerah Paling Kreatif sebagai perakuan kreativiti mereka dalam penghasilan papan pemuka dan analisa data. Tempat ketiga pula dimenangi oleh kumpulan Lionhearts dari Universiti Nottingham Malaysia dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,500 dan plak penghargaan.

YBhg. Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin diiringi oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Haryani Haron telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang yang diadakan pada 26 September 2023 seiring dengan Majlis Penutupan MyStats. Sekalung tahniah dan penghargaan diucapkan kepada semua pemenang yang telah menampilkan prestasi cemerlang dalam pertandingan yang berprestij ini. Diharapkan pertandingan datathon ini menjadi salah satu langkah ke hadapan dalam menggalakkan inovasi dalam data analitik.