MYTECC Sport Traditional Day 2022

MARA Youth Technology Computer Club (MYTECC) telah menganjurkan satu pertandingan sukan tradisional untuk pelajar-pelajar Diploma Sains Komputer (CS110) UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub pada 25 Jun 2022 (Sabtu) bertempat di Padang Bola Sepak, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.

“MYTECC Sport Traditional Day 2022” (MSTD2022) merupakan program yang bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah silaturahim di antara pelajar CS110 yang telah kembali ke kampus di dalam fasa peralihan endemik. Selain itu, program ini juga bertujuan mengetengahkan sukan tradisi yang semakin hilang ditelan zaman. MSTD2022 juga dianjurkan bagi mencapai matlamat Sustainable Development Goals (SDG), SDG-3 iaitu Good Health and Well-Being.

Dua kategori sukan tradisional yang dipertandingkan iaitu sukan Galah Panjang dan Baling Selipar. Sebanyak 8 kumpulan bagi kategori lelaki dan 4 kumpulan bagi kategori wanita telah menyertai sukan tradisional ini. Medal kemenangan emas, perak, dan gangsa telah disediakan bagi pemenang-pemenang untuk setiap kategori yang dipertandingkan.

Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Cawangan Pahang, Ts. Mohd Norafizal Abd Aziz telah berbesar hati menghadiri MSTD2022 ini bagi sama-sama memeriahkan program. Turut serta dalam program ini ialah Penolong Pendaftar Hal Ehwal Pelajar, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub, En. Mohd Amirul Asyraf Abd Aziz. Selain itu, para pensyarah Sains Komputer yang berkelapangan turut sama-sama memeriahkan program ini.

Program MSTD2022 telah bermula pada pukul 8.00 pagi dengan sesi memanaskan badan dan senamrobik. Seterusnya, pada pukul 8.30 pagi, satu taklimat peraturan dan keselamatan telah disampaikan oleh Pengarah Program MSTD2022, Saudara Anas Ikmal Abdul Rahman. Pertandingan Sukan Galah Panjang bermula pada pukul 9.00 pagi, dan diikuti Sukan Baling Selipar pada pukul 10.30 pagi.

Sebelum program melabuhkan tirai, satu majlis penutup secara ringkas telah diadakan dengan sesi ucapan oleh Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Cawangan Pahang dan ucapan oleh Penolong Pendaftar Hal Ehwal Pelajar, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub. Dan seterusnya adalah sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang. MSTD2022 telah melabuhkan tirai pada pukul 1.00 petang.