“MIMOS Deeptech & Future Skills”

“MIMOS Deeptech & Future Skills” adalah sebuah program taklimat kerjaya yang telah dianjurkan oleh Jabatan Sains Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), UiTM Cawangan Pahang. Program ini telah berjaya dilaksanakan pada hari Jumaat, 1 Julai 2022 dan berlangsung selama 2 jam bermula dari jam 3 petang hingga 5 petang secara maya melalui aplikasi webex. Program ini terbuka buat semua pelajar Diploma Sains Komputer, UiTM Cawangan Pahang terutamanya buat pelajar semester 4 yang akan menjalani latihan industri pada semester 5 seterusnya menamatkan pengajian di peringkat diploma.

Program ini merupakan salah satu inisitatif jabatan dalam menyediakan satu sesi perkongsian idea dan maklumat berkaitan dengan peluang pekerjaan dan latihan terkini terutamanya dalam bidang teknologi digital dari pihak industri seperti MIMOS Berhad. Perkongsian ini adalah penting bagi memastikan pelajar sentiasa peka dengan bidang kerjaya terkini yang boleh diceburi, sebagai persediaan untuk menceburi dunia pekerjaan dan bersemangat untuk terus berusaha dalam pembelajaran demi mengejar cita-cita walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Jumlah keseluruhan peserta bagi program ini ialah 172 orang. Melalui program ini, para peserta telah menerima pelbagai input dan perkongsian yang telah disampaikan dengan jayanya oleh penceramah jemputan dari MIMOS Berhad iaitu En Shahidan Abdullah yang merupakan Pengurus Kanan, Corporate Technology Strategy di syarikat berkenaan. Beliau juga merupakan seorang yang berpengalaman dalam penyediaan program latihan bagi bidang kerjaya yang dianjurkan oleh MIMOS.

Selain daripada perkongsian mengenai MIMOS Berhad, antara input dan maklumat lain yang disampaikan oleh penceramah adalah berkenaan dengan keperluan dan bidang kerjaya yang boleh diceburi oleh pelajar Sains Komputer pada masa kini, cabaran dalam pasaran pekerjaan di Malaysia dan impak Industry Revolution 4.0 (IR4.0) dalam dunia pekerjaan. Menurut penceramah, teknologi kini semakin berkembang pesat dan ini menyebabkan juga terdapat perubahan dan peluang yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Justeru banyak peluang kerjaya yang baharu boleh diceburi, selari dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih dan moden ini. Penceramah juga turut berkongsi persepsi biasa majikan terhadap pekerja serta nilai-nilai yang perlu ada dalam diri seorang pekerja.

Diharapkan program ini dapat memberi impak yang positif kepada semua peserta terutamanya buat pelajar Diploma Sains Komputer (CS110) di UiTM Cawangan Pahang. Selain daripada itu, diharapkan juga agar program ini dapat membantu ke arah pembangunan nilai-nilai dalam diri sebagai persiapan untuk menghadapi dunia pekerjaan, dan juga pembangunan ilmiah di kalangan pelajar dalam usaha mempertingkatkan ilmu pengetahuan seterusnya dapat membantu pelajar dalam pembelajaran mereka.