Meningkatkan Prestasi Pelajar Melalui Seminar Kecemerlangan Kimia: Strategi dan Tips

Pada 1 Disember 2023, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), UiTM Melaka Kampus Jasin telah mengadakan Seminar Kecemerlangan Kimia yang bertujuan untuk memantapkan pengetahuan dan pemahaman pelajar mengenai konsep dan teori dalam silibus CHM 138 (Basic Chemistry). Program ini, yang dihadiri oleh 93 orang pelajar kursus AT110 Diploma Pengurusan Perladangan, telah dijalankan di Dewan Kuliah B.

Dalam usaha untuk memberi pencerahan kepada pelajar, Dr Hussein Hanibah, pensyarah Kimia dari UiTM Dengkil, telah dijemput sebagai penceramah utama pada sesi yang pertama. Dr Hussein fokus dalam sesi pendedahan terhadap topik asid dan base, serta jadual berkala. Pendekatan active classroom yang digunakan oleh beliau memberikan peluang kepada pelajar untuk aktif bertanya dan berinteraksi, seterusnya mencipta persekitaran pembelajaran yang dinamik dan menyeronokkan.

 Sesi kedua diteruskan dengan taklimat menjawab soalan yang disampaikan oleh Pn Nur Atiqah, Pensyarah Kimia UiTM Jasin. Di dalam sesi ini, pelajar akan diberi tips dan strategi untuk menjawab soalan. Pelajar juga akan diberi tips menjawab soalan berdasarkan kata kunci yang diberikan di dalam soalan.

Penglibatan pensyarah jemputan memberikan impak yang besar kepada keberkesanan program ini. Pelajar tidak hanya bergantung kepada maklumat yang diperoleh daripada pensyarah kursus, tetapi juga mendapat input baru dari perspektif yang berbeza.

Beliau berharap agar program seumpama ini dapat diadakan setiap semester, memberi peluang kepada pelajar untuk terus memperoleh ilmu yang bermanfaat dan tidak hanya mencapai keputusan yang cemerlang tetapi juga memahami aplikasi konsep dalam kehidupan seharian.