Program Keusahawanan Sosial dalam Melestarikan Alam Sekitar bersama Komuniti Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sinar Harapan,Shah Alam

Pada tanggal 9 Disember 2023,seramai 25 orang pelajar Pengajian Kejuruteraan Kimia dan Elektrik, Kolej Pengajian Kejuruteraan telah menjalankan aktiviti pemindahan pengetahuan bidang kelestarian alam sekitar dan keusahawanan bersama sekumpulan pelajar dari komuniti PPDK Sinar harapan yang terdiri daripada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) dan autisme.

Aktiviti anjuran MASMED ini memberi peluang kepada komuniti PPDK Sinar Harapan untuk mempelajari cara-cara menghasilkan produk pelbagai guna seperti lilin,sabun dan gel wangian ruang daripada minyak masak terpakai yang berpotensi untuk diperluaskan sebagai sumber pendapatan komuniti setempat. Perkongsian ilmu daripada alumni yang telah berjaya dalam bidang perniagaan tentang cara untuk memasarkan produk yang telah dihasilkan juga memberi gambaran dan idea kepada para komuniti untuk membolehkan mereka berdikari dalam menjana pendapatan sendiri daripada sumber bahan buangan terpakai.Ini secara tidak langsung memberikan pendedahan mengenai konsep kitar semula dan penggunaan sumber secara bijak kepada komuniti tersebut.

Pemindahan ilmu kepada komuniti dalam memperbaiki sosioekonomi selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) dalam merealisasikan kemakmuran bersama yang merangkumi tiga dimensi iaitu pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kejuruteraan semula sosial. Pendekatan kelestarian dalam program ini juga memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 1,13,11,14 dan 15 iaitu no poverty,good health and well being, sustainable cities and communities, life below water and life on land untuk kemakmuran komuniti dan alam sekitar

Selain memberi manfaat kepada komuniti PPDK Sinar Harapan, program ini turut memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran interpersonal dan kepimpinan dalam menganjurkan program bersama masyarakat. Program Keusahawanan Sosial dalam Melestarikan Alam Sekitar bersama Komuniti Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sinar Harapan ini mendapat kerjasama daripada SPE student Chapter UiTM Shah Alam,MASMED UiTM Shah Alam ,Persatuan FIKIR, Pengajian Kejuruteraan Elektrik UiTM Shah Alam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor.

Dengan berakhirnya program ini, diharap ia dapat menjadi anjakan paradigma dalam menggalakkan penganjuran aktiviti berbentuk keusahawanan sosial serta menepati matlamat SDG di kalangan warga Uitm dan masyarakat, khasnya komuniti berkeperluan khas yang dapat membantu menjana pendapatan sampingan seiring dengan amalan gaya hidup lestari.