Meningkatkan Kualiti Perkhidmatan Infrastruktur Wi-Fi Tahun 2023 di Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Pengenalan
Endemik telah diumumkan kerajaan bermula 1 April 2022. Ini telah memberi peluang kepada universiti untuk merancang kemasukan mahasiswa secara penuh ke dalam kampus bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (P&P) bermula Oktober 2022. Ia merupakan langkah penting bagi Universiti untuk meningkatkan kualiti infrastruktur dan infostruktur kepada mahasiswa dalam menampung keperluan utama P&P yang berjalan secara hybrid.

Pandemik yang melanda dunia telah memberikan impak secara langsung kepada kaedah P&P di IPTA secara amnya dan khususnya UiTM. Arahan penutupan semua institusi pendidikan dan larangan beroperasi secara fizikal oleh pihak Kementerian telah memberikan tekanan kepada warga akademik dan pentadbir yang terlibat dalam memberikan perkhidmatan pembelajaran kepada mahasiswa.

Seiring dengan dunia menghadapi dan mengadaptasi norma baharu, pelbagai kaedah pembelajaran diperkenalkan bagi membolehkan perkhidmatan diteruskan secara berkesan. Pelbagai inisiatif dan insentif baru juga diperkenalkan oleh kerajaan bagi membantu warga IPT dalam menghadapi situasi tersebut. Kesediaan dan persiapan warga akademik dan mahasiswa juga menjadi satu cabaran utama terutamanya dalam menyediakan perkakasan dan peranti yang berupaya menyokong pembelajaran secara atas talian.

Situasi Semasa
Liputan Wi-Fi merupakan satu isu yang hangat diperkatakan terutama sejak pandemik Covid-19 melanda dunia sehingga kini. Majoriti peranti pintar memerlukan Wi-Fi untuk capaian internet. Sistem rangkaian UiTM juga disokong oleh rangkaian tanpa wayar (Wi- Fi), selain rangkaian berwayar. Wi-Fi adalah satu kemudahan yang disediakan kepada semua mahasiswa bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di UiTM.

Purata liputan Wi-Fi pada masa kini telah mencapai 60% untuk keseluruhan kampus UiTM. Namun, peningkatan keperluan terutama di kolej-kolej kediaman selepas berlakunya pandemik sedikit sebanyak telah memberi implikasi kepada perancangan penambahbaikan liputan Wi-Fi UiTM.

Bagi menyokong aspirasi Pelan Strategik UiTM 2025, universiti telah menggariskan strategi dan inisiatif serta menetapkan sasaran bagi menyokong visi UiTM untuk menjadi universiti tersohor di dunia. Pejabat Pembangunan Infrastruktur dan Infostruktur (PPII) telah dipertanggungjawabkan bagi Performance Indicator (PI) Universiti iaitu Peratus liputan Wi-Fi Seluruh UiTM Mencapai 95% Menjelang Tahun 2025. PPII sedang melaksanakan peningkatan liputan Wi-Fi UiTM secara berfasa.

Solusi
Liputan Wi-Fi UiTM
Menyedari kekangan yang dihadapi oleh pelajar susulan liputan Wi-Fi kampus yang masih di dalam proses naik taraf, PPII melalui inovasi Portal Wi-Fi Universiti (wifi.uitm.edu.my) menyediakan aplikasi secara bersepadu kepada warga terutamanya mahasiswa untuk melihat paparan liputan Wi-Fi di seluruh kampus di dalam membantu mereka merancang dan memilih lokasi yang bersesuaian untuk pengajaran dan pembelajaran (PnP). Perkhidmatan Wi-Fi yang disediakan adalah percuma.

Projek Naik Taraf Wi-Fi
Bagi meningkatkan liputan Wi-Fi di seluruh UiTM, beberapa projek telah dirancang dan pelaksanaannya adalah secara berfasa.

Projek Fasa satu (1) bermula pada September 2019 dan telah selesai dilaksanakan pada Disember 2020. Skop bagi pelaksanaan projek ini merangkumi penambahan dan penggantian peralatan rangkaian yang telah rosak dan usang. Antara peralatan rangkaian yang telah dikenal pasti melibatkan peralatan rangkaian yang kritikal seperti Switch , peralatan rangkaian Wi-Fi dan kabel ( fiber dan copper).

Manakala projek Fasa dua (2) yang dijangka dilaksanakan pada tahun 2023 akan melibatkan penambahan peralatan rangkaian Wi-Fi khusus bagi meningkatkan liputan rangkaian di Kolej-kolej Kediaman di semua kampus Cawangan UiTM. Objektif pelaksanaan projek fasa 2 ini adalah untuk memastikan liputan rangkaian Wi-Fi di kolej-kolej kediaman dapat ditingkatkan kepada 100%.

Projek seterusnya adalah Fasa tiga (3), di mana projek ini bertujuan untuk melengkapkan peratusan liputan Wi-Fi di keseluruhan kampus merangkumi bangunan akademik, pentadbiran dan juga lokasi tumpuan pengguna.

Peranan Mahasiswa
Disamping usaha untuk menaiktaraf infrastruktur ICT yang terkini oleh UiTM, mahasiswa juga perlu memainkan peranan yang tersendiri dalam memastikan setiap individu mendapat perkhidmatan pembelajaran yang berkualiti. Mahasiswa perlu menyediakan perkakasan bantuan pembelajaran yang sempurna seperti peranti laptop atau tablet yang bersesuaian. Pelbagai insentif dan bantuan diperkenalkan oleh kerajaan dalam membantu mahasiswa memperoleh peranti yang bermutu tinggi.

Pelbagai pembekal talian jalur lebar di Malaysia memperkenalkan pakej yang berpatutan kepada mahasiswa bagi membantu meningkatkan kualiti capaian mendapatkan perkhidmatan pembelajaran. Para mahasiswa perlu mengambil peluang yang tersedia ini sebagai alternatif tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan gunasama di universiti. Mahasiswa juga perlu menjadi pengguna infrastruktur Wi-Fi yang bertanggungjawab hanya untuk tujuan PnP sahaja kerana ia juga berkongsi bersama warga universiti yang lain.

Kesimpulan
Apabila Malaysia memasuki fasa endemik, universiti telah merangka dan menyesuaikan perancangan dalam menghadapi norma baharu ini. Naik taraf infrastruktur ICT bagi penyediaan perkhidmatan jaringan internet berkapasiti tinggi dan Wi-Fi adalah di bawah tanggungjawab Pejabat Pembangunan Infrastruktur & Infostruktur (PPII).

Sasaran 95% liputan Wi-Fi di seluruh kampus UiTM menjelang 2025 diharapkan dapat menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang terbaik kepada warga universiti dan secara tidak langsung meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran sekaligus pencapaian akademik universiti.

Tanggungjawab kesemua warga universiti dan sokongan luar terutamanya pihak kerajaan, syarikat swasta, NGO, Alumni dan masyarakat setempat boleh menjadi pemangkin UiTM ke arah Universiti Tersohor Dunia (GRU 2025).

Rujukan
Pelan Strategik UiTM 2025.

Penulis: Shamsuri Awang Seman, Mohd Farid Assamani Mohamed Zainon, Ezabarena Radzi, Nor Azni Abdullah Zawawi, Sharina Mohd Nasir, Mohd Azrul Amir Muhamad Tajudin, Nur Zuraiha Harris Abidin Zainal Abidin, Muhammad Haffizzae Ghazali