Kesiapsiagaan Pentadbir ICT dalam Menghadapi Bencana

Pengenalan
Pada 27 Julai 2022, seluruh negara dikejutkan kejadian gangguan elektrik yang tiba-tiba terjadi kira-kira jam 12.45 tengah hari di Lembah Klang, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor. Antara kawasan yang terjejas adalah Bangi, Serdang, Ampang, Shah Alam, Subang dan Kuala Lumpur.

Kejadian seperti ini telah memberikan impak yang besar kepada semua pihak samada kerajaan dan swasta seperti pusat membeli-belah, pasaraya dan kilang.

Gangguan Perkhidmatan Universiti
Gangguan bekalan elektrik akan menjejaskan operasi universiti termasuk perkhidmatan ICT. Ini mengakibatkan sistem-sistem utama universiti tergendala, akses ke Internet terputus dan sekaligus memberi kesan kepada operasi utama universiti secara keseluruhannya.

Bagi meminimumkan kesan daripada senario ini, Pengurusan ICT berperanan menyediakan prasarana infrastruktur ICT untuk sistem rangkaian universiti, pengurusan pusat data dan pusat pemulihan bencana yang mampu menyokong kesinambungan perkhidmatan universiti.

Pusat Pemulihan Bencana
Pusat Pemulihan Bencana (DRC) merupakan lokasi fizikal alternatif perkhidmatan universiti bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan universiti apabila berlaku gangguan atau bencana.
DRC dilengkapi dengan perkakasan, perisian, sistem aplikasi dan sistem rangkaian yang menyerupai pusat operasi utama atau pusat data.

DRC UiTM mula beroperasi pada tahun 2021 secara berfasa bertujuan meminimumkan impak ke atas sistem penyampaian universiti akibat daripada gangguan atau bencana disamping memastikan kesinambungan sistem penyampaian perkhidmatan universiti terutamanya apabila melibatkan sistem-sistem utama universiti.
Penggunaannya diteruskan sebagai off-site backup untuk perkakasan ICT di bawah seliaan Pengurusan ICT UiTM.

UiTM merupakan antara Universiti Awam di Malaysia yang memiliki dan menguruskan DRC sendiri. Ini menunjukkan kemampuan Universiti yang ditunjangi oleh Pengurusan ICT UiTM untuk membangunkan DRC serta memastikan kesinambungan perkhidmatan dapat diteruskan apabila berlaku sebarang bencana di Pusat Data Utama Universiti.

Kesimpulan
Dengan kewujudan DRC, inisiatif ini dapat membantu meminimumkan impak ke atas sistem penyampaian agensi akibat daripada gangguan atau bencana disamping memastikan kesinambungan dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Kesinambungan perkhidmatan memerlukan perancangan pemulihan bencana yang efektif bagi meminimumkan tahap gangguan dan kerosakan. Penyediaan pemulihan perkhidmatan agensi juga akan lebih lancar dan pantas.

Penulis: Shamsuri Awang Seman, Mohd Farid Assamani Mohamed Zainon, Ezabarena Radzi, Nor Azni Abdullah Zawawi, Sharina Mohd Nasir, Mohd Azrul Amir Muhamad Tajudin, Nur Zuraiha Harris Abidin Zainal Abidin, Muhammad Haffizzae Ghazali