Bicara Santai & Eksplorasi Saintis Masyarakat

2 Januari 2024 – Kesedaran komuniti  mengenai pemeliharaan keseimbangan  ekosistem alam semulajadi  menjadi objektif  program “Bicara Santai & Eksplorasi Saintis Masyarakat” yang merupakan salah satu pengisian di dalam Karnival Temu Suku Buku Dan Program Outreach Lestari Lembah Benom Hulu Cheka yang diadakan pada 2 Disember 2023 yang berlangsung di Lang Buana Eco Park, Hulu Cheka, Jerantut, Pahang. Karnival ini merupakan  hasil kolaborasi bersama Pejabat Penghulu Mukim Hulu Cheka, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Hulu Cheka, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang (Kampus Jengka) dalam menjayakan program galakan membaca di kalangan komuniti, pembangunan komuniti lestari dan juga sebagai agenda mempromosikan  Lembah Benom sebagai destinasi eko-pelancongan.

En. Khairul Akhma bin Yusof selaku Penghulu Hulu Cheka dan juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perpustakaan Pahang Damak melihat kerjasama ini secara terus memberi ilmu pengetahuan di kalangan komuniti Hulu Cheka terutama kanak-kanak dan remaja yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan tentang betapa pentingnya menjaga ekosistem alam semulajadi supaya boleh diwarisi kepada generasi yang akan datang. Ini juga dilihat sebagai langkah pertama dalam kerangka kerjasama yang lebih erat bersama UiTM sebagai pusat perkembangan ilmu dan mampu memberi nilai keilmuan kepada komuniti di Hulu Cheka, Jerantut, Pahang.

Program yang diketuai oleh En. Mohd Amli bin Abdullah @ Baharum, pensyarah kanan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, telah menarik seramai 68 orang pelajar sekolah dan 30 orang pelajar UiTM Cawangan Pahang dari Kelab Organisasi Biodiversiti (ORBID) terlibat di dalam program “Bicara Santai & Eksplorasi Saintis Masyarakat”yang memberi pendedahan mengenai saintis masyarakat dan sumbangan masyarakat kepada ekosistem alam semulajadi. Peserta telah diberikan pendedahan melalui perkongsian oleh Dr. Haji Muzamil bin Haji Mustaffa dan Pn. Nurfarawahidah Badruesham. Di sini para peserta dapat belajar dengan mendalam tentang takrifan, perkembangan dan peranan saintis masyarakat dan seterusnya peserta diajar menggunakan aplikasi iNaturalist dalam menerokai kepelbagaian flora dan fauna. Bagi melengkapkan program ini, peserta dibawa menerokai kawasan Lang Buana Eco Park dan mengenalpasti  flora dan fauna yang terdapat di situ. Di akhir eksplorasi yang diketuai oleh Cik Muniratul Husna Mohamad Zaki, Cik Nor Lailatul Wahidah binti Musa dan dibantu juga oleh En. Rahmat bin Swarno (pemandu pelancong Lembah Benom) telah berjaya memperolehi 322 pemerhatian, 135 flaura dan fauna; dan 50 orang saintis masyarakat seluruh dunia mengenalpasti flaura dan fauna yang ditemui melalui  aplikasi iNaturalist.

Diharapkan dengan kolaborasi komuniti melalui program ini dapat memberikan ilmu pengetahuan kepada peserta dan juga menjadi titik tolak bagi kolaborasi yang akan datang. Sebagai pusat pengembangan ilmu, UiTM perlu mencari inisiatif untuk mendekati komunti setempat sebagai satu langkah pelestarian komuniti berilmu dan juga menjadikan UiTM sebagai pusat rujukan keilmuan bagi komuniti setempat.