Bengkel Pemerkasaan Kepimpinan Mahasiswa (BPKM) UiTM Cawangan Perak

BAYAN LEPAS, 1 Disember 2023 – Bengkel Pemerkasaan Kepimpinan Mahasiswa (BPKM) telah berlangsung dengan jayanya pada 1 Disember 2023 sehingga 3 Disember 2023 di Hotel Seri Malaysia Bayan Lepas, Pulau Pinang. Program ini telah dianjurkan oleh Unit Kepimpinan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA Cawangan (UiTMCP). Inisiatif bengkel ini dijalankan adalah untuk merangka dan seterusnya melaksanakan program berimpak melalui jaringan kerjasama strategik di peringkat nasional mahupun antarabangsa seiring dengan Pelan Perangkaan Strategik UiTM 2024 yang telah dibentangkan melalui tema ‘Globally Respectable.  Sehubungan dengan itu, sebuah rangka kerja yang dinamakan sebagai INTERNATIONAL PROFESSIONAL LEADERS (iPROLEADS) telah dibentuk melalui bengkel ini bagi merencana program-program berimpak tinggi yang melibatkan mahasiswa UiTM Cawangan Perak bersama dengan agensi tempatan dan juga bersama dengan universiti rakan kerjasama.

Seramai 18 orang pelajar telah menyertai bengkel ini yang terdiri dari pemimpin-pemimpin persatuan dalaman pelajar melibatkan dua kampus UiTMCP iaitu Kampus Seri Iskandar dan Kampus Tapah. Kumpulan mahasiswa ini telah disaring terlebih dahulu oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan mereka ini terdiri daripada pemimpin-pemimpin pelajar merentasi program pengajian seperti Kolej Pengajian Alam Bina, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Fakulti Perakaunan dan Fakulti Sains Gunaan. Program ini juga turut disertai oleh 4 orang Pensyarah dan 2 orang Pegawai Eksekutif dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Kampus Seri Iskandar dan Tapah sebagai fasilitator yang membantu menggerakkan dan memimpin sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK).

Objektif bengkel ini adalah platform persediaan dalam membentuk pelajar untuk merencana, memimpin dan mengendalikan program berimpak yang memberi nilai tambah pelbagai kepada pelajar. Selain itu, bengkel ini juga dapat memberikan pendedahan minda kepada pelajar UiTM ke arena antarabangsa serta memberikan peluang kepada pelajar untuk meneroka rangkaian kerjasama baharu di peringkat nasional dan antarabangsa. Melihat kepada cabaran serta isu terkait mahasiswa masa kini, adalah penting bagi pihak universiti untuk menyediakan pelajar yang berperwatakan dan berpendirian teguh, inovatif serta berpandangan luas merentasi sempadan bagi menghadapi cabaran-cabaran global dan serantau melalui pengalaman dalam keadaan negara luar yang mempunyai budaya dan bangsa yang berbeza. Justeru, keperluan untuk membina kemandirian pelajar yang berintelek luas, berfikiran kritis serta boleh melihat hubungan-hubungan isu yang merentasi bidang kepakaran masing-masing adalah sesuatu yang perlu dijana di kalangan pelajar di samping dapat memberikan pelajar kepelbagaian pengalaman budaya serta kepelbagaian teknik kepimpinan yang berkesan berdasarkan asas UiTM sebagai persediaan untuk bekerjasama dengan pelajar antarabangsa.

Penganjuran program ini adalah bertujuan untuk memantapkan penyediaan kertas kerja di kalangan pemimpin-pemimpin pelajar selain mempertingkatkan kompetensi pembangunan program agar lebih berimpak, berdaya saing, aktif dan mempunyai input yang tinggi. Inisitiaf ini juga dapat mempersiapkan bakal pemimpin agar lebih bersedia untuk memimpin mahasiswa di peringkat universiti pada masa hadapan. Antara slot yang diadakan semasa program ini berlangsung termasuklah ceramah, LDK dan sesi pembentangan kertas kerja program mengikut pada kluster seperti beberapa teras berikut.

Teras 1: Kemahiran Kepimpinan (Kluster Pembangunan Sosial)

iPROLEADS melalui teras ‘KEMAHIRAN KEPIMPINAN bertujuan untuk membentuk kemahiran kepimpinan di dalam tiga kategori iaitu Kepimpinan Kebudayaan atau Kepimpinan Keusahawanan atau Kepimpinan Sukan. Melalui teras ini, pelajar akan bertanggungjawab untuk merencana program dan seterusnya memimpin program-program melalui amalan IDART (Ilmu, Disiplin, Amanah, Rajin, Tanggungjawab) yang merupakan teras bagi seluruh warga UiTM.

Teras 2: Kemahiran Kepimpinan Pengucapan Awam Dan Wacana Intelek (Kluster Pembangunan Akademik Dan Intelektual)

iPROLEADS melalui teras ‘KEMAHIRAN KEPIMPINAN PENGUCAPAN AWAM DAN WACANA INTELEK’ bertujuan untuk memberi peluang kepada mahasiswa untuk meneroka ilmu-ilmu baharu melalui siri program kemahiran komunikasi dan wacana intelek yang berupaya untuk memberi impak kepada masyarakat umum. Teras ini memainkan peranan dalam memperkembang sifat melalui penglibatan diri dalam aktiviti-aktiviti bercorak keilmuan dan asimilasi pelajar dengan pelbagai program masyarakat di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan penglibatan dalam aktiviti-aktiviti keilmuan dan kebudayaan ini membolehkan mahasiswa dapat mengenali dan mempelajari budaya masyarakat dengan lebih rapat dan membantu mahasiswa untuk membina pengalaman yang lebih konstruktif dengan masyarakat.

Teras 3: Tanggungjawab Komuniti, Kesukarelawanan Dan Khidmat Masyarakat (Kluster Kesukarelawanan)

iPROLEADS melalui teras ‘TANGGUNGJAWAB KOMUNITI, KESUKARELAWANAN DAN KHIDMAT MASYARAKAT’ adalah satu inistiatif untuk melibatkan mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan bersama dengan masyarakat setempat samada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Perangkaan projek ini adalah dengan kerjasama mahasiswa dan pihak berkuasa dan hendaklah dipersetujui bersama. Melalui teras ini, ada tiga kategori yang boleh diceburi iaitu Kepimpinan Sukarelawan (Kesejahteraan Komuniti), Kepimpinan Sukarelawan (Alam Sekitar) dan Kepimpinan Sukarelawan (Kemanusiaan). Inisiatif ini juga adalah antara usaha universiti-universiti terlibat dalam membina reputasi sebagai institusi unggul di peringkat antarabangsa.

Teras 4: Lawatan Penanda Aras, Perkongsian Amalan Kualiti Antarabangsa Dan Kerjasama Strategik (Kluster Anugerah Khas Kepimpinan Pelajar Antarabangsa)

iPROLEADS 2024 melalui teras ‘LAWATAN PENANDA ARAS, PERKONGSIAN AMALAN KUALITI ANTARABANGSA DAN KERJASAMA STRATEGIK’ bertujuan untuk memberi pendedahan dan ilmu baharu kepada mahasiswa mengenai budaya masyarakat antarabangsa dan bagaimana mahasiswa UiTM boleh membina rangkaian kerjasama strategik antarabangsa dengan komuniti dari negara berkenaan. Ianya bertujuan untuk mewujudkan usahasama antarabangsa antara pelajar-pelajar Universiti Teknologi MARA selaku institusi Melayu terunggul dengan badan perwakilan pelajar dari institusi-institusi lain dalam usaha untuk membina jaringan antarabangsa demi pembangunan pelajar.

Sesi perbincangan mengikut kluster dalam kumpulan ini turut dibimbing oleh para fasilitator. Sesi ini dapat memberi nilai tambah kepada para bakal pemimpin, bahkan ia dapat meredakan sedikit tekanan dan merehatkan minda mahasiswa daripada kepadatan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, apatah lagi ia berlangsung dalam suasana di luar kampus. Inisiatif seperti ini juga dapat membantu mahasiswa memupuk semangat kerjasama inklusif dalam pasukan, membudayakan pemikiran kreatif dan menanam semangat kepimpinan yang berkualiti.

Hala tuju bengkel ini adalah mengikut saranan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menggilap bakat mahasiswa bagi Anugerah Tokoh Siswa.  Anugerah tertinggi yang ditawarkan di peringkat KPT adalah Anugerah Utama dan Anugerah Khas. Anugerah Khas adalah Anugerah Penghargaan Khas Ketua Setiausaha KPT dan Anugerah Penghargaan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi. Di samping itu, terdapat beberapa Anugerah mengikut kluster yang pertama adalah Anugerah Kepimpinan Pelajar iaitu Anugerah Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar, Anugerah Kepimpinan Kolej Kediaman, dan Anugerah Kepimpinan Fakulti/ Persatuan/ Kelab. Kluster seterusnya adalah Pembangunan Sosial iaitu Anugerah Kepimpinan Kebudayaan, Anugerah Kepimpinan Keusahawan dan Anugerah Kepimpinan Sukan. Kluster Pembangunan Akademik dan Intelektual iaitu Anugerah Kepimpinan Pengucapan Awam , Anugerah Kepimpinan Wacana Intelek dan Anugerah Kepimpinan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik ( STEM) . Kluster Kesukarelawan iaitu Anugerah Kepimpinan Sukarelawan (Kesejahteraan Komuniti) , Anugerah Kepimpinan Sukarelawan ( Alam Sekitar) dan Anugerah Kepimpinan Sukarelawan ( Kemanusiaan). Kluster Khas Individu iaitu Anugerah Khas Kepimpinan Ibnu Ummu Maktum dan Anugerah Khas Kepimpinan Pelajar Antarabangsa. Kluster Khas Berpasukan iaitu Anugerah Pasukan Sukarelawan Terbaik, Anugerah Badan Majlis Perwakilan Pelajar Terbaik, Anugerah Persatuan Pasca Siswazah dan Anugerah Fakulti/ Persatuan/ Kelab Terbaik.

Program turut dirasmikan oleh Koordinator Unit Kepimpinan Pelajar, Encik Mohd Shahril Abd Rashid. Beliau turut menitipkan hasrat dan bekalan nasihat buat bakal calon pemimpin mahasiswa ini agar dapat memberikan komitmen terbaik apabila dilantik sebagai pemimpin program berimpak kelak. Matlamat dan visi yang berlandaskan kepada kemenjadiaan pelajar menjadi fokus utama agar matlamat Universiti Teknologi MARA sebagai Global Renowned University menjelang tahun 2025 dapat direalisasikan.

Sebagai penutup, program ini bukan sahaja memberi faedah besar kepada mahasiswa, malahan turut memberi manfaat kepada fasilitator yang terlibat dalam urustadbir dan tatakelola pengendalian program bermula dari menyiapkan kertas kerja sehingga kepada pelaksanaan aktiviti. Progam 3 hari 2 malam ini juga dapat memupuk kerjasama erat unit-unit di bawah pusat tanggungjawab BHEP UiTMCP dalam menjayakan pembangunan kemahiran insaniah dan kognitif mahasiwa.

Laporan disediakan oleh: Mohd Shahril Abd Rashid (Koordinator Unit Kepimpinan Pelajar), Mohammad Safwan Suimi (Pegawai Eksekutif BHEP), Muhammad Khalik Mustafa, Mohd Rashidi A Rahman, Dr. Farrah Rina Mohd Roshdi, Muhammad Shakir Zufayri Nur Hisham.