Memperkayakan Jalinan Komuniti: Membina Kampung Pintar di Kampung Padang Jawa

Shah Alam, 16 Disember 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, melalui Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) telah menjayakan program Projek Kampung Pintar Padang Jawa di Masjid As-Solihin, Kampung Padang Jawa. Program ini merupakan sebahagian dari inisiatif Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang melibatkan 100 peserta termasuk mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) Rangkaian Komputer (CS255) dalam usaha menambah baik infrastruktur masjid.

Komuniti Kampung Padang Jawa menyambut baik inisiatif ini kerana ia dilihat sebagai pemangkin kepada perubahan membina dan mampan. Usaha kerjasama penduduk yang diilhamkan oleh kepimpinan daripada komuniti masjid, Encik Soleh Bin Ahmad dan Encik Haji Hisham bin Parman, menandakan titik perubahan positif dalam pemerkasaan  masyarakat.

Sekumpulan pelajar bersama Dr. Nor Diana binti Ahmad dan wakil masjid telah bersama berbincang aspek-aspek penambahbaikan infrastruktur pekarangan masjid. Hasil perbincangan telah diterjemahkan kepada penghasilan akaun media sosial rasmi untuk penyebaran maklumat yang lebih tersusun dan meluas kepada ahli kariah, sistem pengurusan aduan menggunakan teknologi kod QR serta penstriman video secara langsung menggunakan teknologi penstriman langsung Facebook dan YouTube.

En Mohd Husni M.A Halim, wakil dari Masjid As-Solihin turut diberikan latihan amali penggunaan aplikasi Prism bagi tujuan siaran langsung dari masjid tersebut. Penggunaan siaran langsung amat membantu di dalam penyampaian tazkirah harian kepada penduduk kampung. Beliau juga telah dilatih dalam penggunaan Kod QR untuk mengemaskini maklumat berkaitan masjid agar boleh disampaikan secara lebih berkesan kepada penduduk kampung. 

Encik Mohd Husni amat berpuas hati dengan pendekatan latihan yang diberikan. Beliau berkata, “Penggunaan teknologi moden merupakan pendedahan yang amat penting kepada penduduk bagi memudahkan komunikasi antara satu sama lain dan memelihara kesejahteraan masjid dan masyarakat”. Beliau turut kagum dengan penglibatan mahasiswa dan masyarakat kampung dalam mempelajari teknologi sepanjang program berlangsung. Program ini sememangnya telah memupuk semangat penduduk untuk terus menerokai teknologi moden sebagai jambatan penghubung antara masyarakat dan masjid.

Program KPPIM SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society) 2023/2024 merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan memperkasa dan berkhidmat kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan. Siswazah diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan melihat bagaimana ilmu yang diperolehi mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Aktiviti sebegini bukan sahaja membawa dampak positif kepada komuniti, malah menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals Empat dan Sebelas iaitu Pendidikan Berkualiti, Bandar dan Masyarakat Mampan. Ia juga turut mendukung aspirasi Kerajaan untuk membentuk Masyarakat Madani.