Gaya Hidup Pintar Bermula di Rumah: UiTM Memperkasakan Keluarga dengan Pemahaman Teknologi

Kampung Padang Jawa, 16 Disember 2023 – Universiti Teknologi MARA Shah Alam melalui Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik, dan Matematik (KPPIM) baru-baru ini menganjurkan program “Rumah Pintar/Keluarga Pintar” di Masjid As-Solihin, Kampung Padang Jawa, Shah Alam. Program ini merupakan sebahagian dari inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM), yang bertujuan mempromosi keharmonian komuniti dan menaik taraf kualiti hidup masyarakat di Kampung Padang Jawa.

Melalui pemilihan ketua kampung, enam keluarga telah berpeluang menyertai program transformasi bagi menaik taraf teknik pengurusan harian keluarga. Kesemua keluarga ini berhasrat mempelajari bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan dalam menyusun jadual harian keluarga, mengoptimumkan masa, serta memantau kerja harian sekolah anak-anak mereka. 

Sebagai persediaan pelaksanaan program ini, sekumpulan mahasiswa KPPIM telah menemuramah keluarga-keluarga terlibat secara terperinci. Dengan wujudnya pemahaman menyeluruh tentang keperluan dan aspirasi komuniti, para mahasiswa dapat mengenal pasti aspek teknologi yang boleh diaplikasi bagi memperkasakan kehidupan harian penduduk.

Beberapa aplikasi seperti MyPublicInfoBanjir, WhatsApp, dan Telegram telah dimuat turun di peranti pintar peserta. Peserta kemudiannya diberikan demonstrasi penggunanaan bertempat di Masjid As-Solihin. “MyPublicInfoBanjir,” ialah aplikasi yang mengemas kini berita banjir secara langsung. Peserta juga diperkenalkan dengan ciri-ciri WhatsApp dan Telegram sebagai alat komunikasi antara ibu bapa bersama guru-guru, serta sebagai alatan memantau kerja sekolah anak mereka. Para peserta yang terdiri daripada peniaga kecil menunjukkan minat khusus kepada sesi perkongsian WhatsApp Business kerana ia memberikan mereka keupayaan untuk meningkatkan hubungan dengan pelanggan secara meluas.

Para mahasiswa KPPIM turut menjalankan sesi demonstrasi di kediaman peserta dimana peserta menerokai aplikasi-aplikasi penting untuk perniagaan atas talian seperti WhatsApp, Google Forms, dan TikTok. Peserta juga diberikan panduan  penggunaan Life360, iaitu sebuah aplikasi yang menggunakan data selular, WiFi, dan GPS yang mampu mempamerkan lokasi tepat ahli keluarga masing-masing serta mendapat notifikasi sekiranya ahli keluarga tiba atau meninggalkan sesuatu lokasi.

Taklimat ringkas berkaitan kesedaran komputer dan isu keselamatan juga turut diadakan. Para mahasiswa berinteraksi dengan komuniti untuk menjawab kebimbangan dan pertanyaan berkaitan dengan teknologi. Cik Intan, salah seorang peserta menyatakan, “Walaupun terdapat beberapa bahagian yang agak mengelirukan, pelajar-pelajar ini telah memberikan penerangan yang membantu pemahaman secara ringkas dan mudah difahami”. Beliau turut menambah, “Apa yang saya pelajari pada hari ini sangat membantu saya dan keluarga, dan saya berharap ia dapat memberi sumbangan kepada kemajuan perniagaan ibu saya.”

Pelaksanaan program ini merupakan sebuah kejayaan besar, kerana komuniti diberikan  kemampuan untuk menjadi pengguna teknologi yang bijak. Aplikasi-aplikasi yang diperkenalkan bukan sahaja merupakan teknologi masa kini malah menjadi mercu tanda harapan untuk memudahkan dan memperkayakan kehidupan harian komuniti Kampung Padang Jawa. Ia adalah tanda langkah penting ke arah persekitaran rumah yang lebih efisien dan harmoni.

Program KPPIM SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society) 2023/2024 merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan memperkasa dan berkhidmat kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan. Siswazah diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan melihat bagaimana ilmu yang diperolehi mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Aktiviti sebegini bukan sahaja membawa dampak positif kepada komuniti, malah menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals Empat dan Sebelas iaitu Pendidikan Berkualiti, Bandar dan Masyarakat Mampan. Ia juga turut mendukung aspirasi Kerajaan untuk membentuk Masyarakat Madani.