Melati’s Lake Troopers: Misi Memulihara Tasik Takungan

SHAH ALAM- Bermula awal Oktober 2022 sehingga ke penghujung tahun 2022, Jawatankuasa Perwakilan Kolej Melati sesi 2022/2023 UiTM Shah Alam telah berjaya menjalankan program Melati’s Lake Troopers di tasik angkat Kolej Melati sendiri iaitu Tasik Takungan Seksyen 7,Shah Alam Selangor.

Program ini merupakan program yang dilakukan secara berkala dan jangka masa panjang atas usaha Exco Tugas Khas dan Kesukarelawan, Saudari Hawa Nadia binti Wahab dan Encik Shahar bin Ismail yang juga merupakan pengarah program dan penasihat program Melati’s Lake Troopers ini. Program ini juga tidak dapat dilaksanakan tanpa penglibatan besar sukarelawan Melati Troopers dari Kolej Melati yang telah secara sukarela membantu membersihkan tasik angkat Kolej Melati ini.

Seramai 30 ahli sukarelawan Melati Troopers akan bersama-sama membersihkan tasik ini bersama 4 orang ahli Jawatankuasa Perwakilan Kolej Melati setiap bulan. Tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk memulihara sumber air dengan membersihkan tasik itu selari dengan Sustainable Development Goals yang ke-6 “Clean Water and Sanitation”.

Selain itu, menjaga alam sekitar dengan mengutip sampah serta mengitar semula sampah yang dikutip di sekitar tasik itu yang selaras dengan Sustainable Development Goals yang ke-15 “Life on Land” bagi memelihara habitat haiwan dan ekosistem haiwan terjamin dari sebarang kepupusan disebabkan persekitaran yang tidak dijaga.

Pengarah program, Saudari Hawa Nadia berkata “Program Melati’s Lake Troopers ini telah memberi impak dan maklum balas yang positif daripada peserta dan masyarakat awam kerana sedikit sebanyak kebersihan sekitar tasik semakin terjamin serta bersih. Justeru, program sebegini sangat penting kepada mahasiswa bagi memberi pendedahan awal tentang betapa pentingnya memelihara sumber air kerana air merupakan sumber kehidupan yang utama dan memelihara serta memulihara alam sekitar dari berlakunya sebarang kepupusan habitat haiwan dan ancaman ekosistem”.

Selain itu, beliau juga berharap program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang sebagai satu titik tambah dalam diri ahli Melati Troopers dan juga semua Srikandi Melati untuk lebih menyayangi alam sekitar dan sumber air.