Majlis Perpisahan Pensyarah Sambilan Sepenuh Masa Fakulti Perakaunan

Bandar Pusat Jengka, 28 Februari 2023 – Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang telah mengadakan jamuan perpisahan bagi meraikan pensyarah-pensyarah sambilan sepenuh masa (PTFT) yang tamat perkhidmatan pada hari ini bagi semester Oktober 2022 – Mac 2023. Pada semester ini, Fakulti telah mengambil seramai enam (6) orang pensyarah sambilan di mana tiga (3) orang ditempatkan di Kampus Jengka manakala tiga (3) orang lagi di Kampus Raub.

Majlis telah diadakan di Bilik Rehat Pensyarah bermula jam 12.30 tengahari hingga jam 2.30 petang. Acara dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan oleh Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan, Dr Mohamad Azmi Nias Ahmad serta Koordinator Perakaunan, Puan Lily Mazlifa Mustafa. Dr Mohamad Azmi Nias Ahmad dalam ucapannya mengucapkan jutaan terima kasih atas khidmat bakti yang telah disumbangkan pada semester ini. Beliau juga mendoakan semoga semua pensyarah PTFT akan mendapat kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini dan berharap mereka masih sudi berkhidmat sekiranya diperlukan lagi untuk semester-semester yang akan datang. Puan Lily Mazlifa juga mewakili semua warga fakulti merakamkan ucapan terima kasih yang tak terhingga dan berharap agar silaturrahim yang terjalin ini akan berkekalan selamanya.

Majlis kemudian diteruskan lagi dengan ucapan daripada pensyarah-pensyarah PTFT yang diraikan. Sebagai tanda ingatan dan penghargaan daripada pihak Fakulti Perakaunan, penyampaian cenderahati kepada semua pensyarah PTFT telah disempurnakan oleh Dr Mohamad Azmi Nias Ahmad. Tanpa disangka, warga pensyarah Fakulti Perakaunan turut menerima kejutan istimewa berupa hadiah daripada mereka yang diraikan.

Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengahari dan sesi beramah mesra dengan semua pensyarah fakulti. Terima kasih daun keladi diucapkan kepada Suliza Suhaimin, Nur Hani Ithanin, Humaira Hasan, Nur Asyikin Ab Rashid, Nurfarahin Mohd Haridan dan Nur Adilla Taharahim. Semoga pengalaman yang diperolehi semasa berkhidmat di UiTM Cawangan Pahang dapat membantu menyediakan peluang dan kejayaan untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik di masa hadapan.