Bengkel Menguasai Protokol dan Etiket Sosial dalam Perkhidmatan Awam Anjuran Bersama KPPIM UiTM Cawangan Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah Maran

28 Februari 2023 – Amalan Protokol dan kemahiran etiket sosial adalah penting kakitangan awam terutamanya ketika melibatkan majlis rasmi di mana ia juga dapat mencerminkan imej sesuatu organisasi. Atas kesedaran itu, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (PPIM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang dengan usahasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Maran telah menganjurkan suatu Bengkel Menguasai Protokol dan Etiket Sosial dalam Pekhidmatan Awam bagi Kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah Maran Tahun 2023 bertempat di Ghurfah Gemilang Pejabat Pendidikan Daerah Maran.

Bengkel ini dianjurkan bertujuan untuk memberi pendedahan dan tunjuk ajar kepada para peserta dalam menguasai protokol dan etiket sosial dalam perkhidmatan awam khususnya dari segi pemakaian formal. Para peserta diajar mengenai pemakaian formal yang dibolehkan di dalam majlis rasmi dan juga bagaimana etika yang patut ditunjukkan oleh seorang pegawai kerajaan dalam suatu majlis rasmi.

Bengkel yang disertai oleh seramai 77 orang peserta termasuk kesemua kakitangan PPD Maran dan beberapa orang staf KPPIM UiTM Cawangan Pahang ini telah dikendalikan oleh Pengarah Program Puan Marina Mohamed, Koordinator Kursus KPPIM UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka serta penceramah iaitu Encik Mohd. Ikhsan bin Md. Raus yang juga merupakan pensyarah kanan di KPPIM UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka.

Secara keseluruhan, semua peserta telah memberikan komen dan maklumbalas positif pada akhir sesi bengkel ini. Antara maklumbalas yang diterima adalah memohon untuk memanjangkan tempoh masa bengkel dan menganjurkan bengkel lanjutan. Bengkel yang berjalan selama separuh hari ini telah diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah oleh Ketua Pegawai Pejabat Daerah Maran, Tuan Mohd Ariffin bin Hj Ab Rahman.