Program Cakna Ilmu : “Meneroka Peluang, Mencipta Kegemilangan”

Jabatan Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) telah mengadakan pelbagai program kerjasama bersama Pasukan Pelindungan Kanak-kanak Daerah Seberang Perai Utara (SPU), yang mana antaranya adalah Program Pemerkasaan Komuniti seperti Program Agropreneur Muda Fasa 1 dan Fasa 2, Program Kenali IT, Program Explorace dan lain-lain lagi.

Program Cakna Ilmu ini merupakan satu lagi kerjasama di antara UiTMCPP dan Pasukan Pelindungan Kanak-kanak daerah SPU bagi memberi pendedahan kehidupan di kampus dan menyemarakkan semangat dan sebagai motivasi kepada para peserta (khususnya para pelajar sekolah menengah ) untuk menjejakkan kaki, melanjutkan pelajaran ke menara gading. Sasaran peserta adalah dari pelajar sekolah menengan Tingkatan 1-Tingkatan 4 dari Pasukan Pelindungan Kanak-kanak daerah Seberang Perai Utara yang terdiri dari 3 pusat Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) sekitarnya iaitu PAKK Kuala Muda, PAKK Pokok Machang dan PAKK Taman Tun Dr Awang. Program ini dirasmikan oleh Ybrs Prof. Dr.Mohamad Hariri Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) Universiti Teknologi MARA.

Objektif program ini adalah untuk Memberi peluang kepada para peserta menyertai program yang dianjurkan di UITM Cawangan Pulau Pinang,memberi pendedahan kepada para peserta mengenai aktiviti dan program-program yang terdapat di dalam kampus UiTMCPP serta merangsang semangat belajar para peserta melalui pelbagai dalam kampus iaitu aktiviti Charity Run, Ceramah Motivasi, Sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan Sesi Lawatan Sekitar Kampus UiTMCPP.

Menerusi program seperti ini diharapkan agar para peserta akan mempunyai maklumat mengenai peluang-peluang melanjutkan pelajaran khususnya di UiTMCPP. Selain itu, para peserta akan mempunyai semangat motivasi dan keyakinan lebih tinggi dalam pelajaran serta dapat mencapai impian masing-masing. Jalinan program seperti ini dapat memantapkan lagi kerjasama dan hubungan erat antara UiTMCPP dan Pasukan Pelindungan Kanak-kanak Daerah SPU yang telah terjalin sekian lama demi membantu dan memartabatkan generasi muda ke tahap yang lebih tinggi.