Majlis Penutup Festival Kelestarian Kampus Hijau UiTM 2022

SHAH ALAM, 19 JANUARI 2023 – Majlis penyampaian Anugerah Kelestarian Kampus Hijau UiTM 2022 dan penutup Festival Kelestarian Kampus Hijau UiTM 2022 (FKKH 2022) anjuran Pusat Hijau UiTM telah disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor di Anjung Seri Budiman, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Turut hadir pada majlis ini ialah wakil rakan strategik daripada Kloth Malaysia Sdn Bhd, KDEB Waste Management, Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Jabatan Perancangan dan Jabatan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia Sustainable University Campus Network (MySUN), Fathopes Energy, Central Sugar Refinery Sdn. Bhd. (CSR), Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB), Avisena Specialist Hospital dan Sekolah Kebangsaan Saujana Utama.

Penganjuran kali kedua Festival Kelestarian Kampus Hijau UiTM oleh UiTM Green Centre (UGC) dengan kerjasama seluruh kampus UiTM telah berlangsung selama dua bulan bermula dari 1 November hingga 31 Disember 2022 dengan bertemakan “Gaya Hidup Lestari dan Sihat” bermatlamat bagi mengiktiraf sumbangan Sustainability Warrior yang aktif menjayakan aktiviti kelestarian dan penarafan diperingkat kebangsaan dan antarabangsa. Selain itu, penganjuran festival kelestarian ini juga bertujuan mengiktiraf sumbangan Kampus, Fakulti dan Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang aktif dalam menjayakan agenda kelestarian termasuk pelajar dan rakan-rakan strategik yang telah banyak menyokong Agenda Kelestarian Universiti di sepanjang tahun 2022.

Menurut Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, kolaborasi bersama rakan strategik yang telah terjalin selama ini adalah bertepatan dan seiring dengan Agenda Kelestarian Universiti dan seterusnya menjadi nilai tambah dan memacu UiTM untuk menjadi Globally Renowned University (GRU) menjelang tahun 2025. “Penganjuran Festival Kelestarian Kampus Hijau UiTM oleh UiTM Green Centre, Pejabat Pembangunan Infrastuktur dan Infostruktur (PPII) merupakan bukti komitmen sokongan yang berterusan dikalangan warga UiTM bagi merealisasikan Agenda Kelestarian Universiti.”

“Malah, melalui kerjasama dan komitmen yang jitu daripada pelbagai pihak, UiTM telah berjaya melonjak 22 anak tangga dan berada di kedudukan ke 128 daripada 1050 universiti di dalam penarafan UI GreenMetric (UIGM) World University Ranking 2022”, jelas beliau.

Dalam ucapan alu-aluan Pengarah Pusat Hijau UiTM, Profesor Madya Datin Ts. Gs. Dr. Arnis Asmat mengucapkan penghargaan kepada Penyelaras UiTM Green Centre dan Expert Task Force (ETF) yang terdiri daripada Warga UiTM di dalam pelbagai bidang dan kepakaran diatas komitmen penuh dan kerjasama yang telah mengembleng tenaga di dalam menjayakan Agenda Kelestarian Universiti.

Pada penganjuran Festival Kelestarian Kampus Hijau UiTM 2022 ini, sebanyak lima kategori utama telah dipertandingkan iaitu Anugerah Kelestarian Kampus Hijau 2022 (Kategori Kampus), Anugerah Kelestarian Kampus Hijau 2022 (Kategori Fakulti), Anugerah Kelestarian Kampus Hijau 2022 (Kategori PTJ), Anugerah Sustainability Warrior 2022 dan Anugerah Green Marvel 2022.

Majlis penutup Festival Kelestarian Kampus Hijau UiTM 2022 itu juga menyaksikan Pra Pelancaran bagi tiga inisiatif pemerkasaan Agenda Kelestarian Universiti  seiring dengan Sustainable Development Goals (SDG) yang telah digerakkan oleh Pusat Hijau UiTM, Pejabat Pembangunan Infrastruktur dan Infostruktur (PPII) iaitu: Environmental Sustainability Report (ESR), Pelan Strategik Kelestarian Kampus Hijau UiTM 2022-2025, Rangka Tindakan Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 dan pengenalan kepada projek kelestarian berimpak tinggi iaitu “No Single Use Plastic” (SUP).