Bengkel Asas Internet Kebendaan – Internet of Things (IoT) dengan Arduino

Pada zaman yang kian berkembang pesat ini, banyak teknologi dan peralatan seperti peranti dihasilkan dengan menggunakan teknologi Internet of Things (IoT). Peralatan atau peranti ini dihubungkan dengan internet dan hal ini menyebabkan berlakunya pengumpulan dan perpindahan data melalui rangkaian. Perkara ini dinamakan sebagai internet kebendaan atau lebih dikenali sebagai Internet of Things (IoT). Hal ini boleh berlaku dengan adanya rangkaian tanpa wayar (wireless network) dimana-mana sahaja. Menghubungkan semua objek yang berlainan dengan menambahkan sensor akan meningkatkan kepintaran peralatan dan perkakasan tersebut. Ini membolehkan setiap peralatan dan perkakasan boleh berkomunikasi dalam waktu sebenar dengan data tanpa melibatkan manusia. Internet of Things menjadikan dunia keliling kita lebih pintar dan responsif melalui gabungan digital dan persekitaran fizikal.

Oleh kerana itu, pendedahan terhadap teknologi terkini ini iaitu IoT perlu diperbanyakkan agar generasi kini maklum dan cakna serta berminat untuk menceburi dan mendalami bidang teknologi ini. Justeru satu program iaitu Bengkel Asas Internet Kebendaan – Internet of Things (IoT) dengan Arduino telah dilaksanakan. Program ini adalah anjuran Pengajian Sains Pengkomputeran, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (PPIM), UiTM Cawangan Pahang dengan kerjasama daripada Center of Innovation Tengku Ampuan Afzan (CINTAA), Raub. Bengkel ini bertujuan untuk memperkenalkan teknologi IoT kepada Pelajar Sains Komputer UiTM serta pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah dalam daerah Raub, Bentong dan Lipis. Sebagai sebuah Kolej Pengajian Pengkomputeran adalah menjadi tanggungjawab untuk menganjurkan program yang dapat menambah ilmu para pelajar dan penduduk tempatan dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 atau IR4.0. Selain itu, ia juga dapat menggalakkan para pelajar sekolah rendah dan menengah serta pelajar UiTM menceburi bidang rekacipta menggunakan peranti Arduino dan menyertai pelbagai pertandingan inovasi rekacipta.

Bengkel ini telah berlangsung pada 14 Januari 2023 (Sabtu) selama 2 jam bermula dari jam 10.00 pagi sehingga 12.00 tengahari. Program ini dijalankan secara online dengan menggunakan aplikasi webex. Program ini terbuka untuk semua pelajar UiTM, pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah serta guru-guru dan ibu bapa di sekitar daerah Raub, Lipis dan Bentong. Jumlah peserta yang menyertai webinar ini adalah mencecah sehingga 183 orang. Penceramah untuk bengkel ini adalah merupakan pengurus kepada Center of Innovation Tengku Ampuan Afzan (CINTAA), Raub iaitu En. Mohamad Asyuwad Bin Mohamad Azmi. Perkongsian dari penceramah dimulakan dengan sesi perkenalan dan latar belakang CINTAA. Selain daripada perkongsian ilmu dalam bidang Teknologi IoT, penceramah juga berkongsi tentang program-program yang telah dijalankan dan juga program-program yang akan berlangsung anjuran CINTAA. Penceramah juga telah menunjukkan penggunaan Arduino dalam menghasilkan peralatan yang berkonsepkan IoT ini, Perkongsian daripada program ini memberi pendedahan kepada para peserta untuk menambahkan ilmu dan pengetahuan di dalam bidang Teknologi IoT.

Diharapkan program yang dianjurkan ini dapat memberi impak yang sangat positif kepada semua peserta dan menjadi sebuah perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat kepada para peserta tentang asas Internet Kebendaan atau Internet of Things (IoT). Selain daripada itu, diharapkan juga agar semua dapat gambaran dan maklumat terkini dalam bidang Teknologi IoT justeru dapat mengembangkan penggunaannya terutamanya Arduino dalam projek inovasi dan rekacipta.