MAJLIS PENUTUP DAN PENYAMPAIAN SIJIL TVET WARGA EMAS – KURSUS ASAS TEKNOLOGI PENANAMAN HIDROPONIK DAN FERTIGASI

Kampong Gajah, 5 September 2023 – Jabatan Alam Bina dan Teknologi, Kolej Pengajian Alam Bina UiTM Perak, Kampus Seri Iskandar telah selesai menjalankan kursus asas teknologi penanaman hidroponik dan fertigasi bagi warga emas yang berlansung dari 28 Ogos 2023 hingga 5 September 2023 di bawah tajaan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK). PASAK adalah merupakan agensi yang dimiliki penuh oleh Kerajaan Negeri Perak di bawah Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia yang bermatlamat melahirkan tenaga mahir bagi memenuhi keperluan pelbagai sektor dalam dan luar negeri. Disamping itu, PASAK juga berperanan untuk membangunkan masyarakat yang lebih kompetetif dan berdaya saing dalam meningkatkan taraf ekosistem sosio ekonomi di Negeri Perak. Kumpulan sasaran PASAK kini semakin meluas dan bukan sahaja berfokus kepada belia dan kerjaya, malah turut memberi tumpuan kepada semua lapisan masyarakat antaranya bandar, luar bandar, graduan, ibu tunggal, anak yatim serta termasuk warga emas.

Kursus ini telah melibatkan seramai 20 peserta daripada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kampong Gajah dengan mendedahkan kepada para peserta berkenaan asas teknologi hidroponik dan teknologi fertigasi dalam pengeluaran sayur-sayuran. Kursus yang dijalankan moga dapat memberi bekalan ilmu dan keyakinan kepada peserta untuk menjalankan projek hidroponik atau fertigasi sama ada dalam skala yang besar mahupun kecil seperti di tepi kawasan rumah. Kaedah penanaman yang dikongsikan adalah bermula dengan teori, secara praktikal dan juga lawatan ke tapak projek hidroponik yang telah berjaya bagi memberi semangat kepada para peserta untuk menjalankan usaha yang sama pada masa hadapan.

Majlis penutup dan peyampaian sijil telah dijalankan pada hari terakhir latihan dan disempurnakan oleh Encik Norhisyam Karno (Ketua Penolong Pengawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Kampong Gajah), Encik Aldrin Ng (Pengarah, Pusat Aspirasi Anak Perak [PASAK]), Profesor Madya Dr Muhammad Abdul Aziz Ab Gani (Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni Merangkap Wakil Rektor, UiTM Cawangan Perak), Puan Noraidawati Jaffar (Ketua Penyedia Latihan), Encik Raman Arif bin Yeop Selan (Pengerusi, Pusat Aktiviti Warga Emas [PAWE]), Puan Norafizah Che Harun (Wakil Pengarah, Jabatan Kebajikan dan Masyarakat Negeri Perak), Puan Huzaimah Mohd Said@Asmuni (Penolong Pengawai Pertanian, Pejabat Pertanian Daerah Perak Tengah) dan Sr Dr Wan Samsul Zamani Wan Hamdan (Koordinator Unit Pemindahan Ilmu [KTU] UiTM Cawangan Perak). Majlis berjalan dengan lancar dan sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang terlibat.