Anugerah Penarafan Emas KIK 2023: Pencetus Budaya Inovasi di FPP

Bahagian Hal Ehwal Ehwal Pelajar Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (HEP FPP) telah memenangi Anugerah Penarafan Emas di Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2023 Peringkat Wilayah Tengah UiTM. Konvensyen ini telah berlangsung pada 12 – 13 September 2023 di Anjung Seri Budiman, UiTM Shah Alam. Sebanyak 15 kumpulan telah terpilih ke peringkat Wilayah Tengah UiTM yang terdiri daripada wakil fakulti -fakulti dan unit-unit pentadbiran UiTM Shah Alam dan UiTM Cawangan Selangor.

HEP FPP telah diwakili oleh kumpulan HEP Cakna yang diketuai oleh Encik Mohd Azila Mohamed Isa dan ahli kumpulan yang terdiri daripada Tuan Syed Ashrene Syed Omar, Dr. Suraya Ika Tamrin, Encik Muhammad Abd Hadi Abd Rahman, Puan Nurul Ainun Ahmad Atory, dan Puan Nurul Norliana Mohd Nor. Kumpulan ini telah membentangkan tajuk projek iaitu Keperluan Dapatan Maklumat Kebajikan dan Kesejahteraan Pelajar Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Puncak Alam. Projek ini dibuat adalah berikutan dengan kesukaran pihak HEP FPP dalam menangani isu-isu pelajar seperti kebajikan dan kesejahteraan seperti masalah kewangan, penempatan, kesihatan, fasiliti Orang Kelainan Upaya (OKU) dan tanggungjawab sosial.

Sehubungan itu, projek ini telah membangunkan satu pangkalan data yang dikenali sebagai Sistem E-Student Information System (E-SIS) yang merangkumi maklumat lengkap pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Puncak Alam. Dengan integrasi data ini, ianya dapat meningkatkan kecekapan dan kecaknaan HEP FPP dalam menyantuni masalah pelajar dengan lebih cepat.

Penyertaan kali pertama kumpulan HEP Cakna di Konvensyen KIK 2023 ini telah memberi suntikan motivasi kepada ahli-ahli kumpulan dalam usaha memberikan pembentangan yang terbaik di hadapan para juri. Di samping itu, penganugerahan penarafan Emas ini telah membakar semangat ahli-ahli kumpulan serta seluruh warga FPP untuk bergiat lebih aktif lagi dalam aktiviti inovasi pada masa akan datang.