Majlis Penghargaan dan Penyerahan Tugas Rektor UiTM Cawangan Perlis

ARAU, 17 Januari 2022 –  Telah  berlangsung Majlis Penghargaan dan Penyerahan Tugas Rektor UiTM Cawangan Perlis di Hotel Seri Malaysia, Alor Setar. Majlis yang dihadiri oleh barisan pengurusan kanan, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua pusat pengajian serta staf pentadbiran UiTM Cawangan Perlis diadakan bagi meraikan dan menghargai jasa kepimpinan mantan Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Dr. Haji Khudzir bin Haji Ismail. Majlis tersebut merupakan acara tradisi penyerahan tugas secara rasmi setiap kali penggiliran lantikan Rektor.

Profesor Dr. Haji Khudzir bin Haji Ismail telah menerajui kepimpinan UiTM Cawangan Perlis sebanyak dua kali iaitu kali pertama pada Januari 2010 hingga Januari 2013 sebelum beliau dilantik sebagai Dekan Fakulti Sains Gunaan di UiTM Shah Alam. Kali kedua beliau menerajui kepimpinan cemerlang UiTM Cawangan Perlis bermula Julai 2019 sehingga November 2021.

Peribadi Profesor Dr. Haji Khudzir yang tenang, mesra dan fleksible menjadi tunggak dalam pentadbiran berkesan di UiTM Cawangan Perlis. Sepanjang beliau menerajui kampus sebagai Rektor, pelbagai pencapaian dan pengiktirafan cemerlang telah diperolehi UiTM Cawangan Perlis sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Warga kampus merasai kehilangan besar di atas persaraan beliau sebagai Rektor.

Dalam amanat beliau, Profesor Dr. Haji Khudzir mengingatkan para kakitangan UiTM Cawangan Perlis untuk terus bersatu hati dan memberikan perkhidmatan yang berbaik demi kelestarian dan kecemerlangan kampus dan universiti. Paling istimewa, Profesor Dr. Haji Khudzir turut berkongsi kenangan perkenalan beliau bersama Rektor UiTM Cawangan Perlis yang baharu iaitu Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim bin Mohd Fauzi semasa beliau masih bergelar pensyarah muda. Dalam pada itu, Profesor Dr Haji Khudzir turut berpesan agar para kakitangan UiTM Cawangan Perlis memberikan sokongan terbaik kepada Rektor yang baharu dalam melonjakkan kecemerlangan kampus ke tahap yang lebih baik.

Kepimpinan UiTM Cawangan Perlis yang terkini diterajui Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim bin Mohd Fauzi yang dilantik pada November 2021. Sebelum ini beliau merupakan Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri kampus tersebut.