Majlis Mencerakin Sahsiah Diri – Pemantapan Warga Pusat Pengajian Perakaunan Professional Muslim Glokal 2022

Bandar Pusat Jengka, 21 Disember 2022 – Pusat Pengajian Perakaunan (PPP) UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan “Majlis Mencerakin Sahsiah Diri- Pemantapan Warga FPN Professional Muslim Glokal 2022”. Majlis ini dilaksanakan sebagai tanda penghargaan untuk semua warga PPP yang membantu menjayakan aktiviti bagi mencapai PI dan hala tuju universiti sepanjang tahun 2022.

Majlis yang disertai oleh 24 orang pensyarah warga PPP ini dimulai dengan ucapan aluan oleh Dr Mohamad Azmi Bin Nias Ahmad, selaku Ketua PPP UiTM Cawangan Pahang. Seterusnya, jemputan utama dari Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Dr. Norhapizah Mohd Burhan meneruskan majlis dengan menyampaikan amanat dan dorongan melalui ucapan menarik beliau bertajuk “Memugar Potensi Akademi PPP Selaku Professional Muslim Glokal”.

Majlis ini telah mendapat sambutan yang baik kerana berjaya memberi impak positif, memupuk semangat kerja optima, mewujudkan persekitaran pekerjaan harmoni, akauntabiliti dan motivasi untuk seluruh warga PPP. Dengan adanya persekitaran kerja yang baik, ia akan meningkatkan lagi prestasi kerja di masa hadapan dan akan membantu menaikan semangat di kalangan para pensyarah PPP.

Program ini telah membantu PPP UiTM Cawangan Pahang dalam menyahut saranan negara untuk mencapai Sustainable Development Goals (SDG) yang ke lapan iaitu SDG8: Pekerjaan Baik dan Kemajuan Ekonomi.

SDG ini diperkenalkan secara umumnya bertujuan untuk menangani cabaran global yang kita hadapi, termasuk yang berkaitan dengan kemiskinan, ketidaksamaan, perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar, keamanan dan keadilan. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang komited dengan matlamat ini dan telah mengambil langkah-langkah untuk menerapkan strategi-strategi SDG.

Semoga hubungan erat yang terjalin antara warga PPP dapat dikekalkan melalui pelbagai rangkaian program yang bakal diadakan pada tahun 2023.