Alumni UiTM Cawangan Sarawak Raikan Graduan Sempena Istiadat Konvokesyen Kali Ke-95

KOTA SAMARAHAN, 19 DISEMBER 2022 (ISNIN): Seramai 13 alumni UiTM hadir meraikan 439 jumlah graduan Ijazah Sarjana Muda dan 1390 jumlah graduan Diploma UiTM sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Cawangan Sarawak yang ke-95 pada Sidang Pertama hari ini. Pusat Jaringan Alumni (ANC) di bawah Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni sebagai Jawatankuasa Induk Sambutan Alumni amat berbesar hati dengan kehadiran alumni UiTM yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang membanggakan.

Alumni UiTM yang hadir adalah wakil kumpulan graduan dalam lingkungan tahun 1970-an hingga tahun 2000 dan ke atas. Alumni UiTM dijemput pada sesi ini bagi meraikan graduan yang bakal bergraduat sekaligus sebagai tanda penghargaan kepada alumni. Hubungan ukhuwah boleh diperkukuhkan dan menyatukan alumni UiTM agar dapat memaksimumkan inisiatif mempromosi dan membangun serta alumni untuk meningkatkan lagi kerjasama rangkaian antarabangsa UiTM.

Pengisytiharan 19 Disember sebagai Hari Alumni UiTM adalah sebagai tanda penghargaan kepada para alumni UiTM yang menjadi pemangkin kepada kelestarian pembangunan ekosistem universiti mampan. Pengisytiharan tersebut dibuat oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd. Janor bersempena dengan Istiadat Konvokesyen yang berlangsung di UiTM Cawangan Sarawak.

Yang Berbahagia Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah merasmikan Istiadat Konvokesyen ini serta menyempurnakan penganugerahan ijazah dan diploma kepada para graduan. Turut hadir menyempurnakan penganugerahan ijazah dan diploma adalah Profesor Dr. Mohamad Hariri Abdullah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tuan Haji Muhamad Nizam Noordin, Pendaftar, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tuan Haji Mazlan Hashim Bendahari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr. Haidar Dziyauddin Penasihat Undang-undang (UiTM), Profesor TPr, Dr. Jamalunlaili Abdullah Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Alam Bina (KAB) dan Profesor Dato Dr. Jamil bin Haji Hamali, Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak.

Tahniah dan Syabas diucapkan kepada semua graduan kerana telah berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang. Begitu juga, jutaan penghargaan disampaikan kepada para ibu bapa, pensyarah dan seluruh warga UiTM Cawangan Sarawak yang ikhlas menjayakan Istiadat Konvokesyen kali ke-95.