MAJLIS JASAMU DIKENANG (MJD)

Pada 9 Oktober 2023 bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam telah diadakan Majlis Jasamu Dikenang (MJD) bagi tahun 2022 yang meraikan dan memberi penghargaan kepada semua bakal pesara wajib 2023, pesara pilihan tahun 2021 hingga 2023 dan staf yang telah berkhidmat selama 25 tahun dan 30 tahun pada 31 Disember 2021. Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan universiti kepada semua staf yang diraikan terhadap jasa, peranan, pengorbanan serta kesetiaan mereka sepanjang berkhidmat di UiTM. Majlis Jasamu Dikenang merupakan acara tahunan universiti yang diadakan setiap tahun, walau bagaimanapun kali terakhir majlis ini diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam adalah pada tahun 2019 dan majlis untuk tahun berikutnya hanya dapat dilaksanakan diperingkat Kampus/Kolej/Fakulti/Jabatan/PTJ masing-masing akibat daripada pandemik Covid-19.

Majlis Jasamu Dikenang (MJD) pada tahun ini diadakan kembali di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam dengan meraikan seramai 613 warga UiTM yang terdiri daripada pesara dan bakal pesara seramai 264 peserta, Khidmat Setia 25 tahun seramai 196 peserta dan Khidmat Setia 30 tahun seramai 153 peserta. Majlis ini juga dimeriahkan dengan kehadiran tetamu khas, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Datuk Ariff Farhan Doss, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM dan ahli Majlis Eksekutif Universiti (MEU). Majlis ini meraikan peserta yang sepatutnya diraikan pada tahun 2022 tetapi diraikan lewat satu tahun daripada tahun semasa berikutan pandemik Covid -19. Cenderamata khas seperti seutas jam tangan dan Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) diberikan mengikut kategori Pesara/Bakal Pesara, Khidmat Setia 25 tahun dan Khidmat Setia 30 tahun.

Aturcara majlis adalah seperti berikut:
7.30 pagi Pendaftaran Pesara/Bakal Pesara/Khidmat Setia 30 dan 25 tahun.
8.15 pagi Ketibaan Pengurusan Tertinggi UiTM
8.25 pagi Ketibaan Naib Canselor
8.30 pagi Ketibaan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti
8.45 pagi Majlis Bermula
Nyanyian lagu ‘NegaraKu’ dan ‘ Wawasan Setia Warga UiTM’
Bacaan Doa
Aluan Pengerusi Majlis
Ucapan Aluan Naib Canselor UiTM
Ucapan Penghargaan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM
Upacara Penyampaian Penghargaan bagi :
– Khidmat Setia 25 Tahun
– Khidmat Setia 30 Tahun
– Pesara / Bakal Pesara
Tayangan Multimedia
Pelancaran Buku
1.00 tghari Majlis Bersurai

Selain hidangan makanan yang disediakan, majlis juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh kumpulan Kombo Konservatori Muzik Kolej Pengajian Seni Kreatif yang diketuai oleh Encik Shahrir Sharis dari Kolej Pengajian Seni Kreatif. Majlis bersurai jam 1.00 tengahari.