Bengkel Penyelarasan Jadual Waktu Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Puncak Alam Sesi Oktober 2023- Februari 2024

Bengkel jadual waktu untuk sesi pembelajaran Oktober 2023-Februari 2024 Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Puncak Alam telah diadakan bermula pada 2 hingga 28hb Sept 2023. Dengan jumlah pelajar seramai hampir 6000 orang dari 15 program pengajian berbeza, ditambah pula dengan sistem pembelajaran hybrid dan jadual anjal yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPT), tentunya satu cabaran yang besar bagi jawatankuasa untuk menyiapkan jadual waktu tepat pada masanya bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar.

Persediaan awal yang sangat penting dalam proses penyediaan jadual waktu kuliah adalah mengenal pasti kursus-kursus yang perlu ditawarkan dan menentukan bilangan kumpulan yang perlu dibuka bagi setiap kursus. Kesilapan yang berlaku pada peringkat awal ini bukan sahaja akan menimbulkan masalah kepada para pelajar malah akan mengganggu pelbagai pihak memandangkan kursus-kursus di FPP juga ditawarkan di hampir kesemua fakulti yang ada di universiti ini. Kes-kes kesilapan penetapan bilangan kumpulan kuliah yang berlaku pada setiap semester akan menyukarkan pelajar untuk mendaftar kursus manakala kes-kes bilangan kumpulan yang dibuka melebihi keperluan pula boleh menyebabkan pensyarah yang terlibat membazir masa di kelas-kelas kosong. Situasi yang berlaku juga memberi tekanan kepada para pensyarah yang terlibat sebagai ahli jawatankuasa jadual waktu kuliah
kerana kekerapan pindaan jadual waktu dan kerja-kerja tambahan yang perlu dilakukan memaksa mereka menangguhkan kuliah.

Bengkel dimulakan dengan perbincangan bersama fakulti-fakulti lain yang terlibat dengan pengajaran dan pembelajaran di FPP dengan menetapkan waktu kuliah yang bersesuaian, diikuti dengan pegisian slot-slot jadual waktu yang telah dipersetujui. Seterusnya adalah penetapan slot-slot bagi kursus-kursus dalam fakulti mengikut program-program yang ditawarkan.

Dengan adanya sistem IcressV2.1 yang digunapakai, menjadikan kerja-kerja meyiapkan jadual waktu lebih mudah dan tersusun. Akhir sekali, adalah menjadi tanggungjawab jawatankuasa jadual waktu FPP untuk memastikan jadual waktu pelajar, program dan pensyarah disiapkan tepat pada waktunya untuk memastikan pelajar dapat menghadiri kuliah dengan lancar, mencapai kejayaan akademik, menggunakan masa dan sumber mereka dengan sebaiknya manakala mengekalkan persekitaran kerja yang sihat dan mengurangkan tekanan terutama sekali kepada para pensyarah.