Lawatan Penilaian Pertandingan Kelantanku Bersih 2022 Kategori Institusi Pengajian Tinggi Ke UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 1 September – UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK), Kampus Machang telah dikunjungi oleh empat (4) orang panel juri dari Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan bagi pertandingan kebersihan dan keceriaan peringkat Negeri Kelantan pada 29 Ogos 2022. Pertandingan ini dianjurkan sempena Kempen Kelantanku Bersih 2022 kategori pusat pengajian tinggi seluruh Negeri Kelantan. Kempen ini digerakkan untuk rakyat Kelantan bagi mencapai impian menjadikan Kelantan sebuah negeri contoh dari sudut kebersihan dengan tema “Clean & Green”. Pada tahun 2021, pertandingan ini telah mendapat sambutan yang hangat dan maklum balas yang sangat positif daripada banyak pihak.

Buat pertama kalinya UiTMCK Kampus Machang menyertai pertandingan ini sebagai tanda sokongan dan hubungan kerjasama agar objektif serta matlamat penganjuran dapat dicapai. Kelancaran dan persediaan rapi oleh pihak kampus telah digerakkan oleh satu jawatankuasa khas yang dikoordinasikan oleh Unit Kampus Hijau dan dinaungi oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTMCK. Segala perancangan dan penyelarasan gerak kerja telah dimulakan sejak awal bulan Ogos 2022 lagi.

Persiapan pertandingan ini melibatkan beberapa pusat tanggungjawab antaranya Bahagian Pentadbiran, Bahagian Pengurusan Fasiliti, Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni, Bahagian Hal Ehwal Akademik, Perpustakaan Tengku Anis, Pusat Islam, Unit Sukan serta Unit Komunikasi Korporat. Sesi penilaian melibatkan beberapa kriteria penting yang menjadi penentu keputusan oleh pihak juri. Keputusan pertandingan ini akan diumumkan pada awal bulan Oktober 2022. Kampus yang bertuah bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM5000 serta trofi bagi tempat pertama, RM3000 serta trofi bagi tempat kedua dan RM2000 dan trofi bagi pemenang tempat ketiga.

Lawatan Penilaian Pertandingan Kelantanku Bersih 2022 Kategori Institusi Pengajian Tinggi Ke UiTM Cawangan Kelantan seperti pautan berikut: https://kelantan.uitm.edu.my/index.php/events/843-lawatan-penilaian-perrtandingan-kelantanku-bersih-2022-kategori-institusi-pengajian-tinggi-ke-uitm-cawangan-kelantan