Merdeka: Cabaran Mempertahankan Kedaulatan Negara

30 Ogos 2022 – Shah Alam; Negara Malaysia merupakan negara yang mempunyai pelbagai kaum yang ditadbir di bawah sistem pentadbiran berteraskan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen serta kesatupaduan antara rakyat dengan rakyat, negeri dengan negeri dan pengiktirafan negara-negara luar. Keselamatan negara Malaysia merujuk kepada situasi bebas daripada sebarang ancaman dari dalam dan luar negara. Ancaman keselamatan ini telah berlaku sejak awal kemerdekaan 1957 lagi seperti ancaman Komunis, dan peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Geografi Malaysia berada pada kedudukan yang stratergik iaitu di tengah-tengah rantau Asia Tenggara dan terletak di laluan penghubungan laluan kapal dunia antara Selat Melaka dengan Laut China Selatan. Kedudukan geografi ini telah mempengaruhi hubungan Malaysia bersama dengan negara-negara serantau dan antarabangsa dalam aspek politik, sosio-ekonomi, keselamatan, budaya, pertahanan dan lain-lain. Oleh demikian, soal keselamatan negara menjadi soal utama bagaimana untuk mengekal, melindungi dan mempertahankan teras negara dalam memastikan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka, berdaulat, aman dan sejahtera.

Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ke-65, Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) menganjurkan satu forum sebagai satu inisiatif kepada masyarakat awam terutama sekali kepada warga Universiti Teknologi MARA untuk menaikkan semangat cinta kepada negara dan terus melestarikan kedaulatan institusi Raja-Raja. Forum yang bertajuk ‘Merdeka: Cabaran Mempertahankan Kedaulatan Negara’ ini kita dapat saksikan penampilan khas iaitu Mejar Jeneral Datuk Hj. Mohd Nizam bin Hj. Jaffar, Komandan Maktab Ketahanan Nasional selaku panel pertama dan Profesor Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu selaku panel kedua. Forum ini dikendalikan oleh seorang moderator iaitu Encik Mujibu bin Abd. Muis, Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu. Siaran dilakukan secara langsung di Youtube Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM dan di Facebook Kursi Institusi Raja-Raja Melayu – Media Rasmi pada jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Seramai 3 564 orang (3 120 orang di Youtube dan 444 orang di Facebook) telah menonton forum ini.

Objektif pelaksanaan forum ini ialah memantapkan lagi tahap kefahaman warga UiTM dan warga umum tentang institusi pertahanan dalam menjaga kedaulatan negara, menjana daya saing secara positif disamping menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan ke-65, dan memberi ruang dan peluang ahli panel serta para pelayar yang mengikuti forum untuk bersama-sama berkongsi pendapat dan cadangan mengenai isu kedaulatan negara.

Seterusnya, dalam forum ini kita dapat mengetahui dan didedahkan tentang cabaran institusi kententeraan dalam mempertahankan negara. Tidak lupa juga peranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera yang telah dimasyhurkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita sebagai rakyat Malaysia sedar bahawa intitusi kententeraan ini adalah institusi pertahanan utama Negara Malaysia. Akan tetapi, segelintir masyarakat masih tidak tahu apa yang telah dihadapi oleh pihak tentera dalam memastikan rakyat Malaysia hidup dalam keadaan aman dan damai. Seperti contoh peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah oleh pengganas Sulu pada tahun 2013 kita dapat lihat ramai perwira negara telah gugur dalam peperangan tersebut. Hal ini tidak lain adalah kerana hak kedaulatan sesebuah negara itu sendiri.

Hak kedaulatan sesebuah negara itu mesti berada dalam keadaan aman dan damai seperti yang dikatakan oleh Mejar Jeneral Datuk Hj. Mohd Nizam, “Wujudnya kami (tentera) kerana untuk memastikan kedamaian, bukan wujudnya kami (tentera) untuk memastikan peperangan”. Tambahan pula, dalam soal keselamatan negara bukan sahaja kita melihat tentang peperangan sahaja, tapi keselamatan ini merangkumi beberapa aspek seperti perpaduan, ideologi fahaman, pelarian atau kemasukan warga asing tanpa izin, masalah tuntutan wilayah dari negara lain, keselamatan siber, bencana alam, wabak penyakit dan keselamatan bekalan sumber makanan. Jika kita lihat semula sejarah yang pernah berlaku semasa pendudukan kuasa asing, Raja-Raja perlu mendapatkan nasihat dan bertindak atas nasihat mereka.

Menurut Profesor Datuk Dr. Shamrahayu, kedaulatan itu tidak ada apabila tindakan atau pentadbiran kita dikawal oleh orang asing. Menurutnya lagi, kedaulatan itu menunjukkan keabsahan sesebuah negara dan apabila kita menjadi sebuah negara bangsa setelah pemasyhuran atau pengisytiharan kemerdekaan pada tahun 1957, maka kedaulatan itu kembali menjadi milik kita semula. Dalam konteks undang-undang, maksud kedaulatan itu ialah autoriti yang tertinggi. Hal ini bermakna kita boleh membuat keputusan terhadap apa yang kita mahu lakukan untuk negara ini. Kebebasan untuk mentadbir, dan mengurus dengan cara sendiri itulah yang bermaksud kedaulatan. Tambahan pula, sebagai sebuah negara yang merdeka, kita mempunyai hak untuk lakukannya sendiri tanpa ada campur tangan dari pihak luar. Ancaman-ancaman kedaulatan ini sering berlaku dan ini merupakan antara cabaran-cabaran yang perlu kita bersedia untuk hadapinya bersama-sama. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu memperkukuhkan diri tentang sejarah dan memperkukuhkan diri tentang agama (kerohanian) yang merupakan asas peradaban bangsa.

Malaysia sebuah Negara Persekutuan yang terdiri dari Negeri Johor, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan) perlu dikekalkan kedaulatannya. Apabila kedaulatan negara dipertahankan, maka ia dapat mewujudkan keamanan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat. Pihak kerajaan juga harus berfungsi dengan sehabis baik dalam menjunjung sistem Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen, Keluhuran Perlembagaan dan menghormati hak-hak rakyat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana itu, pendedahan seperti ini harus diambil oleh masyarakat supaya mereka lebih jelas dan mengetahui betapa beratnya tanggungjawab dalam mempertahankan kedaulatan negara. Negara Berdaulat, Rakyat Hidup Aman dan Damai.